SOKONGAN PH MENINGKAT MENJELANG HARI MENGUNDI

PORT DICKSON – Pakatan Harapan (PH) mendakwa momentum sokongan rakyat terhadap gabungan itu terus menunjukkan peningkatan menjelang hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, Sabtu ini.

Pengerusi PH Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, perkembangan tersebut memberi keyakinan kepada jentera parti, namun beliau masih enggan membuat sebarang ramalan mengenai keputusan pilihan raya kerana percaya corak pengundian hanya akan ditentukan pada hari mengundi.

Menurut beliau, fokus utama PH ketika ini adalah memastikan seramai mungkin pengundi keluar menunaikan tanggungjawab masing-masing selain meneruskan kempen berasaskan rekod pentadbiran serta penyelesaian isu rakyat.

Beliau berkata, PH juga berjaya menangkis pelbagai serangan politik sepanjang tempoh kempen, khususnya naratif yang menyentuh isu kaum dan agama yang dimainkan pihak lawan.

“Pada peringkat awal, kempen berjalan agak perlahan, namun kini momentum semakin baik. Penerimaan rakyat semakin positif bukan sahaja di DUN Linggi, malah di semua 36 kerusi yang ditandingi PH di Negeri Sembilan,” katanya ketika ditemui di sini.

Aminuddin yang juga Menteri Besar Negeri Sembilan berkata, kematangan pengundi negeri itu dalam menilai prestasi kerajaan dan memilih kepimpinan diharap dapat diterjemahkan melalui sokongan kepada PH.

Beliau turut berharap tiada sebarang insiden atau provokasi pada saat akhir yang boleh menjejaskan suasana kempen dan mempengaruhi keputusan pengundi.

Sementara itu, Aminuddin menzahirkan keyakinan terhadap kadar keluar mengundi bagi pengundian awal selepas meninjau proses pengundian di Kem Segenting, Port Dickson.

Katanya, kehadiran anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama pasangan masing-masing sejak awal pagi mencerminkan tahap disiplin tinggi dalam kalangan pasukan keselamatan.

Beliau percaya pusat pengundian awal berkenaan mampu merekodkan antara peratusan keluar mengundi tertinggi pada PRN kali ini, sekali gus memberi gambaran positif terhadap kelancaran proses demokrasi di Negeri Sembilan.

PRN Negeri Sembilan menyaksikan persaingan sengit di kesemua 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), dengan PH berusaha mempertahankan pentadbiran negeri yang diterajui sejak 2018. Hari pengundian ditetapkan pada Sabtu ini selepas proses pengundian awal melibatkan anggota keselamatan berlangsung dengan lancar.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *