SEREMBAN – Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan mengingatkan rakyat supaya tidak mudah terpengaruh dengan propaganda yang mempertikaikan komitmen gabungan itu terhadap Islam dan orang Melayu, sebaliknya menilai rekod pentadbiran serta dasar yang memberi manfaat kepada masyarakat.

Calon PH bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sikamat, Ustaz Nor Azman Mohamad berkata, dakwaan kononnya PH tidak memperjuangkan nilai Islam hanyalah persepsi yang sengaja dimainkan pihak tertentu bagi mengelirukan pengundi menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN).

Menurut beliau, calon-calon PH di Negeri Sembilan turut mempunyai latar belakang pendidikan agama dan pengalaman dalam bidang dakwah serta pengajian Islam.

Katanya, calon DUN Kota, Muhammad Allif Ibrahim merupakan seorang ustaz yang aktif bersama masyarakat, manakala calon DUN Paroi, Ahmad Syahir Mohd. Shah ialah graduan Pengajian Islam Universiti Malaya dan calon DUN Ampangan, Datuk Muhammad Nazri Kassim pula mendapat pendidikan di Madinah sebelum menyambung pengajian di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Nor Azman yang juga graduan Universiti Al-Azhar, Mesir berkata, perjuangan Islam tidak seharusnya dinilai melalui imej atau retorik semata-mata, sebaliknya diterjemahkan menerusi amalan pentadbiran yang membawa kebaikan kepada rakyat serta menolak kemudaratan.

Beliau berkata, rekod kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Utama Aminuddin Harun turut membuktikan komitmen kerajaan negeri dalam memperkukuh syiar Islam melalui penganjuran usrah, majlis ilmu dan program tadabbur al-Quran di kediaman rasmi Menteri Besar.

Tambahnya, pendekatan tersebut menunjukkan nilai Islam diterapkan dalam pentadbiran secara berterusan, bukan sekadar dijadikan bahan kempen politik.

Mengulas kempen PRN, beliau berkata politik yang memainkan sentimen agama dan kaum secara sempit tidak membantu pembangunan negeri, malah hanya mencetuskan perpecahan dalam kalangan masyarakat.

Sehubungan itu, Nor Azman menyeru pengundi membuat penilaian berdasarkan rekod pentadbiran, integriti calon serta manfaat yang telah dinikmati rakyat sepanjang PH mentadbir Negeri Sembilan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *