FAHMI: PENGUNDI PENENTU, BUKAN RAMALAN POLITIK

JEMPOL – Keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan Ke-16 hanya akan ditentukan oleh pengundi yang keluar menunaikan tanggungjawab pada hari pengundian, bukannya berdasarkan ramalan politik atau jangkaan mana-mana pihak.

Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, sebarang kajian, analisis atau ramalan tidak mampu menentukan keputusan sebenar kerana kuasa mutlak berada di tangan rakyat yang mengundi pada 1 Ogos ini.

Menurut beliau, kenyataan bekas Ahli Parlimen Bangi, Dr. Ong Kian Ming yang menjangkakan gabungan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) berpotensi memenangi 25 kerusi pada PRN Negeri Sembilan perlu dilihat sebagai satu cabaran kepada jentera dan calon PH untuk bekerja lebih keras.

“Yang akan memenangkan mana-mana calon atau mana-mana parti akhirnya ialah pengundi yang keluar mengundi. Bukan kajian, bukan para nujum, bukan apa-apa ramalan, tetapi pengundi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri program kempen bersama calon PH Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeram Padang, G. Manivanan di FELDA Bukit Rokan Barat, di sini, hari ini.

Fahmi berkata, sepanjang tempoh berbaki sebelum hari pengundian, calon-calon PH perlu terus memperkukuhkan usaha mendekati masyarakat, khususnya pengundi atas pagar yang disifatkan sebagai kelompok penting dalam menentukan keputusan di beberapa kerusi yang dijangka sengit.

Menurut beliau, pendekatan turun padang, mendengar keluhan rakyat serta menjelaskan pencapaian kerajaan negeri akan terus menjadi fokus utama kempen PH.

Katanya, berdasarkan sambutan yang diterima di lapangan, momentum kempen PH menunjukkan perkembangan positif dan memberi keyakinan bahawa pengundi akan membuat penilaian berdasarkan prestasi pentadbiran serta rekod perkhidmatan kepada rakyat.

Beliau turut memuji kepimpinan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun yang disifatkan berjaya mentadbir negeri dengan baik sepanjang penggal lalu tanpa dikaitkan dengan skandal penyelewengan atau penyalahgunaan wang awam.

Menurut Fahmi, Aminuddin yang lebih dikenali sebagai Tok Min juga kekal tenang berdepan pelbagai kritikan sepanjang kempen dan terus memberi tumpuan kepada tugas serta khidmat kepada rakyat.

“Walaupun berdepan pelbagai kenyataan yang agak keras sepanjang kempen, beliau memilih untuk terus bekerja dan meneruskan usaha mendekati rakyat,” katanya.

PRN Negeri Sembilan Ke-16 pada 1 Ogos ini menyaksikan persaingan sengit antara PH-BN dan PN, dengan beberapa kerusi dijangka menjadi penentu kepada pembentukan kerajaan negeri bagi penggal akan datang.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *