PELAJAR DITIKAM DI SEKOLAH, JPN SELANGOR GERAK BANTUAN PSIKOSOSIAL

PUTRAJAYA – Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor mengesahkan seorang murid yang cedera dalam insiden tikaman di sebuah sekolah menengah di Banting sedang menerima rawatan di hospital, manakala suspek telah ditahan pihak polis untuk siasatan lanjut.

JPN Selangor dalam satu kenyataan memaklumkan pihaknya memberi kerjasama penuh kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan siasatan dijalankan dengan lancar, selain memberi keutamaan terhadap kebajikan mangsa dan keluarganya.

Menurut kenyataan itu, pasukan kaunselor serta Guru Bimbingan dan Kaunseling telah digerakkan segera ke sekolah berkenaan bagi melaksanakan intervensi sokongan psikososial kepada murid, guru dan seluruh warga sekolah yang terkesan dengan kejadian tersebut.

Langkah berkenaan bertujuan membantu menstabilkan emosi warga sekolah, di samping memastikan sesi persekolahan dapat diteruskan dalam suasana yang selamat dan terkawal.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Mohd. Akmalrizal Radzi mengesahkan mangsa dipercayai ditikam oleh seorang pelajar perempuan lain dalam kawasan sekolah sebelum dibawa ke Hospital Banting untuk mendapatkan rawatan.

Beliau berkata, suspek telah ditahan dan kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.

JPN Selangor turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan kerana boleh mengganggu siasatan serta menjejaskan kesejahteraan murid dan warga sekolah.

Pada masa sama, semua pihak diseru memberi ruang kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan secara menyeluruh, selain menghormati privasi mangsa dan keluarga sepanjang tempoh pemulihan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *