KUANTAN – Ribuan bangkai pelbagai spesies ikan ditemukan terdampar di sepanjang hampir satu kilometer di Pantai Cherating, sekali gus mencemarkan kawasan peranginan terkenal itu dan menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan pengunjung.
Kejadian yang mula disedari pada malam Ahad itu dipercayai berpunca daripada tindakan individu tidak bertanggungjawab membuang lebihan hasil tangkapan selepas menjalankan aktiviti memukat di perairan berkenaan.
Antara spesies yang ditemukan ialah ikan gelama, beliak mata, lauh dan ikan nipis, dengan bangkai ikan masih bertaburan di persisiran pantai serta mengeluarkan bau busuk ketika tinjauan dilakukan.
Susulan kejadian itu, pegawai Jabatan Perikanan Negeri Pahang bersama Jabatan Alam Sekitar (JAS) menjalankan pemeriksaan di lokasi termasuk mengambil sampel air laut bagi memastikan tiada unsur pencemaran atau faktor lain yang menyebabkan kematian ikan secara besar-besaran.
Langkah berkenaan merupakan prosedur operasi standard (SOP) bagi mengesahkan keadaan perairan kekal selamat dan tidak menjejaskan ekosistem marin serta aktiviti pelancongan di kawasan tersebut.
Seorang nelayan tempatan melahirkan rasa kecewa terhadap tindakan membuang ikan berkenaan kerana bukan sahaja mencemarkan alam sekitar, malah menyebabkan pembaziran sumber laut yang masih boleh dimanfaatkan untuk diproses sebagai produk makanan.
Insiden itu turut mencetuskan kebimbangan kerana berlaku berhampiran lokasi penganjuran Festival Layang-Layang Antarabangsa Kuantan (KITE 4.0) yang baru berakhir, sekali gus memberi kesan terhadap imej Pantai Cherating sebagai antara destinasi pelancongan utama di Pahang.
Orang ramai berharap pihak berkuasa mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab serta memperketat pemantauan bagi mengelakkan kejadian sama berulang demi memelihara kebersihan pantai dan kelestarian sumber marin.
