PUTRAJAYA – Seramai 82,092 calon lepasan Matrikulasi, Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Asasi, Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) serta Diploma dan setaraf berjaya mendapat tawaran melanjutkan pengajian ke 20 Universiti Awam (UA) bagi sesi akademik kali ini.
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam kenyataan hari ini memaklumkan jumlah itu mewakili 76.1 peratus daripada 107,875 permohonan yang layak untuk mengikuti pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda menerusi UPUOnline®.
Sebanyak 1,146 program pengajian Ijazah Sarjana Muda ditawarkan kepada calon yang berjaya, dengan pemilihan dibuat berasaskan prinsip meritokrasi.
Menurut KPT, semua calon yang layak disusun berdasarkan markah merit daripada yang tertinggi hingga terendah sebelum tawaran pengajian dibuat.
Bagi calon yang belum menerima tawaran, KPT menyediakan peluang kedua menerusi proses rayuan UPUOnline® yang dibuka selama 10 hari, bermula hari ini pada 12 tengah hari hingga 23 Ogos, jam 5 petang.
Proses rayuan itu memberi ruang kepada calon yang belum berjaya memperoleh tawaran untuk mengemukakan permohonan semula berdasarkan program dan kekosongan yang tersedia. Calon dinasihatkan menyemak syarat serta maklumat berkaitan dengan teliti sebelum membuat rayuan.
KPT turut mengingatkan calon supaya membuat semakan keputusan dan status rayuan melalui saluran rasmi UPUOnline® bagi memastikan maklumat yang diterima adalah tepat serta mengelakkan kekeliruan.
KPT mengucapkan tahniah kepada semua calon yang berjaya dan berharap peluang melanjutkan pengajian di institusi pendidikan tinggi dimanfaatkan sebaiknya sebagai langkah membina masa depan serta memperkukuh potensi akademik dan kerjaya masing-masing.
