Program silaturrahim membabitkan Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Senator Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz bersama komuniti Gereja St Micheal Alor Setar mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan netizen di media sosial.
Menerusi hantaran di Facebook, Nik Abduh memaklumkan beliau bersama Lajnah Dakwah PAS Pusat telah mengadakan majlis silaturrahim dengan komuniti gereja yang diketuai oleh Paderi Rev. Fr. Dato Micheal Cheah pada 30 Mei lalu.
Program yang berlangsung di dewan bersebelahan gereja itu turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Merdeka, Ustaz Shahril Long dan Pengerusi Gereja St Micheal, Dr Edwin Jude.
Kira-kira 60 peserta hadir dalam program yang bertujuan memperkukuhkan persefahaman, hubungan mesra serta keharmonian antara masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini.
Menurut Nik Abduh, pertemuan tersebut memberi ruang kepada kedua-dua komuniti untuk saling memahami.
Selain menjelaskan pendekatan dan matlamat perjuangan PAS dalam kerangka politik Islam.
Beliau turut menegaskan bahawa agama perlu terus menjadi asas penting dalam pembentukan akhlak masyarakat dan pembangunan negara.
Sambil menyifatkan penghayatan nilai-nilai agama sebagai faktor utama dalam mewujudkan keamanan dan kestabilan sosial.
Bagaimanapun, program tersebut turut mengundang perdebatan dalam kalangan pengguna media sosial.
Sebahagian netizen memuji usaha dialog dan hubungan antara agama yang dianggap mampu mengukuhkan perpaduan masyarakat majmuk.
Namun, terdapat juga pihak yang mempersoalkan reaksi berbeza yang sering diberikan terhadap program seumpama itu apabila melibatkan pemimpin daripada parti politik lain.
Mereka mendakwa tindakan yang sama sebelum ini pernah menerima kritikan keras daripada penyokong tertentu atas alasan berkaitan sensitiviti agama dan politik.
Perkembangan itu sekali lagi memperlihatkan bagaimana isu hubungan antara agama dan pendekatan politik sering menjadi perhatian serta perbahasan dalam ruang media sosial negara.
Dalam pada itu, Nik Abduh menegaskan Lajnah Dakwah PAS Pusat akan terus melaksanakan program dialog dan silaturrahim bersama pelbagai lapisan masyarakat sebagai usaha memperkukuhkan persahabatan, persefahaman dan keharmonian dalam kalangan rakyat Malaysia.
Sebahagian pengguna media sosial turut mengimbau beberapa insiden terdahulu yang melibatkan pemimpin Kerajaan Perpaduan menghadiri program bersama komuniti bukan Islam yang pernah mencetuskan kritikan hebat daripada pihak tertentu.
Menurut mereka, pendekatan yang diambil Nik Abduh kali ini tidak jauh berbeza dengan usaha kerajaan memupuk persefahaman antara agama dan kaum di negara ini.
Ada juga yang berpendapat program sedemikian seharusnya dinilai berdasarkan matlamat serta hasilnya.
Bukannya latar belakang politik penganjur.
Dalam masa sama, pemerhati politik melihat reaksi bercampur-campur tersebut sebagai gambaran perubahan pendekatan PAS dalam mendekati masyarakat pelbagai kaum dan agama.
Perdebatan yang tercetus turut membuka ruang kepada masyarakat untuk menilai semula pendirian parti-parti politik terhadap isu keharmonian antara agama secara lebih objektif.
Pautan Video: https://m.youtube.com/watch?v=Mpi0XF3RNoE&ra=m
