STABIL POLITIK, EKONOMI BERKEMBANG

Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim menegaskan kestabilan politik perlu dipertahankan meskipun kerajaan terpaksa melakukan kompromi.

Ia bagi memastikan ekonomi negara terus berkembang dan Malaysia kekal diyakini pelabur global.

Beliau berkata, konflik politik yang berpanjangan berisiko menjejaskan keyakinan pelabur, sekali gus memberi kesan kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Menurutnya, kerajaan mempunyai pilihan sama ada berkonfrontasi sehingga boleh menggugat ekonomi atau mengambil pendekatan kompromi demi mengekalkan kestabilan politik.

“Orang sergah saya kerana nampak kompromi tetapi saya ada pilihan. 

“Bertempur, ekonomi menjunam.

“Kompromi akan memberi keterbatasan tentang langkah-langkah yang diambil. 

“Itu antara dua keputusan yang harus dibuat. 

“Maka saya memilih untuk menjaga supaya politik itu stabil dan ekonomi berkembang,” katanya.

PMX berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penutup Sesi Libat Urus Belanjawan 2027 di Kementerian Kewangan.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, kestabilan politik merupakan antara asas penting dalam meyakinkan pelabur untuk membuat keputusan pelaburan berskala besar di Malaysia.

“Bagi saya kestabilan politik itu sangat penting bagi negara kita kerana orang tidak akan melabur kalau politik itu tidak stabil,” tegasnya lagi.

Pada masa sama, beliau berkata prestasi asas ekonomi yang semakin kukuh memberi ruang kepada kerajaan untuk mempertimbangkan permintaan tambahan peruntukan bagi memenuhi keperluan rakyat.

Bagaimanapun, katanya, setiap permintaan perlu dinilai secara menyeluruh berdasarkan kerangka makroekonomi dan kemampuan kewangan kerajaan bagi memastikan perbelanjaan negara kekal mampan.

Dalam perkembangan berkaitan, PMX berkata, pengukuhan keupayaan pertahanan negara memerlukan tambahan peruntukan yang berpotensi mencecah ratusan juta hingga berbilion ringgit susulan perubahan landskap keselamatan serantau.

Tambahan lagi, katanya, peningkatan ketegangan geopolitik antara Amerika Syarikat dan China menjadikan rantau ini semakin kompleks.

Dan ia sekali gus memerlukan Malaysia menilai semula keupayaan pertahanan negara.

“Rantau ini sekarang bukan lagi rantau biasa. 

“Ia jadi rantau yang berkembang sebagai satu pusat ketegangan antara dua kuasa besar, Amerika Syarikat dan China,” ujarnya.

Kata Ahli Parlimen Tambun itu lagi, Malaysia pada masa sama perlu mengekalkan hubungan baik dengan kedua-dua kuasa besar itu bagi memastikan kepentingan negara terus terpelihara.

Malah menurutnya, perkembangan keselamatan di selatan Filipina, khususnya pembangunan pangkalan ketenteraan di Pulau Balabac yang berhampiran Sabah turut perlu diberi perhatian.

Selain itu, katanya, Malaysia tidak mempunyai kemampuan untuk membangunkan pangkalan tentera dan udara sebesar yang terdapat di Balabac.

Namun sekurang-kurangnya keupayaan pertahanan di Sabah perlu dipertingkatkan.

“Apakah kita ada upaya untuk membangunkan pangkalan tentera dan pangkalan udara sehebat yang dilakukan di Balabac? 

“Saya jawab tidak. Tetapi sekurang-kurangnya minimum pertahanan harus ditingkatkan,” jelasnya lagi.

Sesi berkenaan turut dihadiri Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan; Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong; Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Johan Mahmood Merican serta Gabenor Bank Negara Malaysia, Dato’Sri Abdul Rasheed Ghaffour.

Pautan Video: https://m.youtube.com/watch?v=piOjfyizy80&ra=m

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *