PMX MINTA BANTUAN PRABOWO SELESAI ISU PELABURAN FELDA

Dato’ Seri Anwar Ibrahim meminta bantuan Presiden Indonesia, Prabowo Subianto untuk membantu menyelesaikan isu pelaburan FELDA dalam PT Eagle High Plantations Tbk (EHP) yang kini berdepan proses perundangan di Indonesia.

Perdana Menteri berkata, beliau sudah mengutus surat kepada Prabowo bagi meminta perhatian terhadap isu berkenaan yang berpotensi menyebabkan kerugian sehingga RM2.5 bilion sekiranya tidak diselesaikan.

Malah menurutnya, daripada jumlah berkenaan, FELDA mungkin hanya memperoleh semula sekitar RM200 juta.

“Saya sudah menulis surat kepada Presiden Prabowo meminta beliau melihat juga permasalahan ini. 

“Kerugian kalau tidak ditangani RM2.5 bilion, yang mungkin kita peroleh nanti hanya RM200 juta. Ini satu contoh,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada sesi ramah mesra bersama pengurusan tertinggi dan pengurus FELDA di Bangi.

PMX yang juga Menteri Kewangan berkata, isu pelaburan EHP merupakan antara masalah legasi terbesar FELDA yang perlu difahami oleh seluruh pengurusan agensi itu.

Beliau turut menegaskan masalah berkenaan bukan berpunca daripada peneroka atau pengurus FELDA di peringkat negeri.

Sebaliknya berkait dengan keputusan dan pengurusan di peringkat atasan sebelum ini.

“Masalahnya bukan masalah pengurus. 

“Bukan masalah peneroka. 

“Masalahnya masalah pengurusan dan keputusan di atas,” ujarnya lagi.

Untuk rekod, FELDA melalui FIC Properties Sdn Bhd (FICP) sebelum ini mengambil 37 peratus kepentingan dalam EHP daripada kumpulan Rajawali di Indonesia pada nilai AS$505.4 juta pada 2016.

Pelaburan itu kemudian menjadi antara urus niaga FELDA yang menjalani kajian forensik susulan persoalan mengenai nilai pembelian dan pembiayaan pelaburan berkenaan.

Pada Jun 2024, tribunal di bawah Singapore International Arbitration Centre (SIAC) memutuskan memihak kepada FICP dalam pertikaian berkaitan hak opsyen jual atau put option saham EHP.

Keputusan itu mengarahkan pihak berkaitan Rajawali memenuhi obligasi untuk membeli semula saham berkenaan.

Namun pelaksanaannya masih berdepan cabaran perundangan di Indonesia.

Ahli Parlimen Tambun itu juga berkata, kerajaan kini berusaha menangani pelbagai masalah legasi FELDA secara menyeluruh.

Ia termasuk memperkukuh aspek tadbir urus, integriti dan akauntabiliti.

Beliau turut menggesa pengurusan FELDA di semua peringkat memahami beban kewangan yang diwarisi agensi berkenaan supaya langkah pemulihan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.

“Saya mahu pengurus FELDA keseluruhannya benar-benar memahami permasalahan ini. 

“Bukan dengan maksud untuk sekadar merasa lelah atau letih.

“Tetapi tahu bahawa masalah ini mesti dan wajib ditangani,” jelasnya.

Katanya lagi, usaha itu bukan bertujuan melemahkan semangat warga FELDA atau mencari pihak untuk dipersalahkan.

Sebaliknya, bagi memastikan kelemahan terdahulu tidak berulang.

Pautan Video: https://m.youtube.com/watch?v=iYF63gh9iH0&ra=m

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *