Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor secara rasmi dibubarkan berkuat kuasa semalam selepas mendapat perkenan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail.
Sekali gus membuka laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Ke-16 dalam tempoh 60 hari akan datang.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, keputusan pembubaran dibuat bagi memastikan rakyat Johor terus memiliki sebuah kerajaan yang stabil, kukuh dan mampu meneruskan agenda pembangunan negeri.
Pembubaran DUN yang memiliki 56 kerusi itu bagaimanapun mencetuskan pelbagai reaksi politik apabila dilakukan hampir setahun lebih awal sebelum tamat penggal pentadbiran semasa.
Pakatan Harapan (PH) menyifatkan langkah tersebut sebagai tidak perlu memandangkan tiada krisis politik atau ketidakstabilan kerajaan yang berlaku ketika ini.
PH bagaimanapun menegaskan kesediaan untuk berunding dengan Barisan Nasional (BN) demi kestabilan politik.
Namun tetap bersedia menghadapi pertandingan sekiranya pilihan raya menjadi pilihan.
Dalam perkembangan berkaitan, Perikatan Nasional (PN) mengumumkan kesediaan bertanding di semua 56 kerusi DUN,
Manakala Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) pula mengesahkan akan mempertahankan kerusi Puteri Wangsa yang dimenangi pada PRN lalu.
Pembubaran DUN Johor turut mencetuskan spekulasi bahawa Negeri Sembilan mungkin mengambil langkah sama dalam masa terdekat selepas beberapa pemimpin politik memberi bayangan mengenai kemungkinan pilihan raya negeri diadakan lebih awal.
Sementara itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan tarikh mesyuarat khas bagi menentukan hari penamaan calon, pengundian awal dan hari mengundi akan diumumkan selepas menerima pemakluman rasmi daripada Speaker DUN Johor.
Pada PRN Johor 2022, BN membentuk kerajaan negeri selepas memenangi 40 daripada 56 kerusi DUN, diikuti PH dengan 12 kerusi, PN tiga kerusi dan MUDA satu kerusi.
Dengan medan politik Johor kini kembali terbuka, perhatian tertumpu kepada strategi parti-parti utama dalam merebut mandat rakyat yang bakal menentukan hala tuju negeri itu bagi tempoh lima tahun akan datang.
Selain persaingan politik, PRN Johor kali ini dijangka menjadi medan penilaian rakyat terhadap prestasi kerajaan negeri dalam menarik pelaburan, mewujudkan peluang pekerjaan dan meningkatkan taraf hidup penduduk.
Tumpuan juga diberikan kepada pelaksanaan projek strategik seperti Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dan pembangunan semula Forest City yang dilihat berpotensi merancakkan pertumbuhan ekonomi negeri.
Penganalisis politik berpendapat keputusan pilihan raya ini akan menjadi petunjuk penting terhadap sokongan rakyat menjelang Pilihan Raya Umum akan datang.
Dalam masa yang sama, isu kos sara hidup, perumahan, peluang pekerjaan dan kemudahan awam dijangka menjadi antara fokus utama kempen semua parti yang bertanding.
Pemerhati turut menjangkakan persaingan lebih sengit berbanding PRN 2022 susulan perubahan landskap politik semasa serta kerjasama baharu antara beberapa parti politik.
Apa pun keputusannya nanti, mandat rakyat Johor akan menjadi penentu utama kepada hala tuju pentadbiran negeri bagi tempoh lima tahun akan datang.
Pautan Video: https://m.youtube.com/watch?v=sMn3T9EX8nQ&ra=m
