PETALING JAYA – Beregu campuran profesional negara, Hoo Pang Ron-Lai Pei Jing, mara ke separuh akhir kejohanan badminton berstatus Super 750 buat kali pertama selepas menyingkirkan wakil Taiwan, Liu Kuang Heng-Hsu Yin Hui, pada suku akhir China Masters di Guangdong, China.
Pasangan yang kini berada di ranking ke-85 dunia itu hanya mengambil masa 36 minit untuk menundukkan gandingan ke-48 dunia tersebut 24-22, 21-5.
Kemenangan berkenaan menyaksikan Pang Ron-Pei Jing, yang membentuk kerjasama sejak Mei lalu pada Malaysia Masters, terus mencipta kemajuan positif dalam penampilan mereka di pentas antarabangsa.
Di separuh akhir esok, mereka bakal berdepan pasangan tuan rumah, Zhu Yi Jun-Li Qian, yang menghuni ranking ke-28 dunia.
Gandingan China berusia 21 tahun itu mara selepas menewaskan pasangan Taiwan, Wu Guan Xun-Lee Chia Hsin, yang berada di ranking ke-34 dunia, 24-22, 21-12 dalam tempoh 34 minit.
Pertemuan esok menjadi aksi sulung Pang Ron-Pei Jing menentang Yi Jun-Li Qian sebagai pasangan. Namun, kedua-duanya mempunyai pengalaman berdepan pencabar berkenaan ketika masih bergandingan dengan pasangan masing-masing sebelum ini.
Ketiadaan rekod pertemuan secara langsung sebagai pasangan memberi ruang kepada Pang Ron-Pei Jing untuk menggunakan pengalaman terdahulu bagi mengenal pasti kelemahan lawan, sekali gus meningkatkan peluang memburu tiket ke final.
Kejayaan itu turut memberi suntikan keyakinan kepada Pang Ron-Pei Jing yang masih dalam fasa membina keserasian sebagai gandingan baharu. Jika mampu meneruskan momentum sama, mereka berpeluang melakar satu lagi kejutan untuk menempah tempat ke final dan membuktikan kemampuan bersaing di pentas Super 750.
