ISKANDAR PUTERI – Johor meletakkan sasaran membawa pulang 45 pingat emas sekali gus menamatkan saingan dalam kelompok tiga kontinjen terbaik pada Temasya Sukan Malaysia (SUKMA) XXII Selangor 2026 yang bermula bulan ini.
Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Johor, Mohd. Hairi Mad Shah berkata, selain 45 emas, kontinjen itu turut menyasarkan 55 pingat perak dan 43 gangsa sebagai pencapaian keseluruhan pada temasya dwitahunan berkenaan.
Menurut beliau, Johor mempertaruhkan 689 atlet yang akan dibimbing 150 jurulatih serta diuruskan 48 pengurus pasukan bagi menghadapi 379 acara membabitkan 37 jenis sukan, manakala Para SUKMA pula disertai 110 atlet bersama 23 jurulatih dan 28 pegawai dalam 10 jenis sukan.
“Kami mengimpikan untuk sekali lagi mencipta sejarah seperti pada edisi 2022 dan yakin sasaran berada dalam kelompok tiga terbaik mampu dicapai hasil persiapan rapi yang dilakukan sepanjang tempoh latihan,” katanya selepas Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen Johor di sini, hari ini.
Bagi menghargai kecemerlangan atlet, kerajaan negeri menawarkan ganjaran RM10,000 kepada pemenang pingat emas bagi acara individu dan berpasangan, RM9,000 seorang bagi acara berpasukan melibatkan tiga hingga enam atlet serta RM8,500 seorang bagi pasukan yang mempunyai tujuh atlet atau lebih. Ganjaran sama turut diberikan kepada atlet Para SUKMA, manakala Olahragawan dan Olahragawati SUKMA Johor bakal menerima insentif tambahan RM5,000.
Dalam perkembangan sama, Mohd. Hairi yang juga Ketua Kontinjen Johor melahirkan rasa kecewa apabila sukan kanu sekali lagi tidak dipertandingkan pada SUKMA, sekali gus menafikan peluang atlet negeri itu untuk bersaing di pentas berprestij tersebut.
Beliau berharap Kementerian Belia dan Sukan dapat menilai semula keputusan berkenaan pada edisi akan datang memandangkan kanu merupakan antara sukan yang dipertandingkan di temasya antarabangsa seperti Sukan Komanwel dan Sukan Olimpik, selain memaklumkan Majlis Sukan Negeri Johor akan menghantar 34 atlet menyertai Kejohanan World Sprint Championships 2026 di Singapura, bulan ini.
Selain memburu sasaran pingat, Mohd. Hairi turut mengingatkan semua atlet supaya mempamerkan disiplin tinggi, semangat kesukanan dan komitmen sepanjang temasya berlangsung, sambil menyifatkan kejayaan Johor bukan sahaja diukur menerusi kutipan pingat, malah kemampuan kontinjen membawa imej negeri dengan cemerlang serta melahirkan lebih ramai atlet berpotensi untuk mewakili negara pada masa hadapan.
