WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dilaporkan secara sulit sedang mempertimbangkan untuk mengisytiharkan perang dengan Iran berakhir, meskipun Pentagon meneruskan penempatan tentera AS di Asia Barat.

Menurut laporan The Wall Street Journal, Trump membincangkan cadangan itu dengan pegawai kanan pentadbirannya dan langkah berkenaan dilaporkan mendapat sokongan beliau.

Trump dipercayai melihat tekanan ekonomi berterusan terhadap Iran sebagai strategi untuk memaksa Teheran melucutkan program nuklearnya atau berdepan risiko kejatuhan rejim.

AS minggu lalu melancarkan Operasi Peminggiran Ekonomi dengan menyasarkan sektor utama Iran termasuk minyak, perkapalan, penerbangan, emas, teknologi dan aset digital.

Bagaimanapun, keputusan Pentagon melanjutkan penempatan tenteranya memberi gambaran bahawa konflik berkenaan mungkin berlarutan sehingga tahun depan.

Ketika ini, kira-kira 50,000 anggota tentera AS dan 19 kapal perang ditempatkan di rantau berkenaan, termasuk dua kapal pengangkut pesawat dan 13 kapal pemusnah peluru berpandu.

Trump sebelum ini menegaskan tindakan AS terhadap Iran bertujuan melindungi Israel, Asia Barat dan negara Barat daripada ancaman serangan Teheran.

Dalam perkembangan sama, beliau memberi jaminan kepada Israel bahawa Washington akan terus mempertahankan sekutunya itu susulan peningkatan ketegangan terbaharu dengan Iran.

Ketegangan tersebut tercetus selepas tempoh reda pertempuran selama kira-kira sebulan, dengan serangan AS pada malam Selasa menyasarkan beberapa kemudahan pertahanan dan ketenteraan Iran.

Serangan terhadap tapak pertahanan udara Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC), sistem radar, kemudahan komunikasi serta pelancar peluru berpandu dan dron itu mengorbankan 18 orang, manakala 108 lagi cedera.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *