GEORGE TOWN – Aktiviti kecergasan terus diperkasa sebagai medium memperkenalkan seni dan budaya kepada generasi muda menerusi Kejuaraan Senam Seni 2.0 (COSS) Peringkat Negeri Pulau Pinang yang berlangsung di pekarangan Muzium Feri.
Program anjuran Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya menerusi Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) dengan kerjasama Muzium Feri dan Jabatan Pendidikan Negeri itu menghimpunkan 10 kumpulan peserta dari sekolah rendah dan menengah.
JKKN dalam kenyataan berkata, penganjuran COSS 2.0 menggabungkan elemen kecergasan, seni dan budaya dalam satu aktiviti yang dekat dengan kehidupan masyarakat, khususnya golongan muda.
Menurut kenyataan itu, program berkenaan bukan sahaja menggalakkan amalan gaya hidup sihat dan aktif, malah menjadi platform memperkenalkan seni serta budaya sebagai sebahagian daripada kehidupan seharian.
“COSS merupakan antara inisiatif JKKN dalam memperkasakan seni budaya menerusi aktiviti yang dekat dengan kehidupan masyarakat, khususnya golongan muda.
“Program ini turut menjadi platform membudayakan gaya hidup sihat dan aktif, di samping memperkenalkan seni serta budaya sebagai sebahagian daripada kehidupan seharian,” katanya.
Sebanyak 10 kumpulan mengambil bahagian dengan setiap peserta menampilkan kreativiti masing-masing dalam mengangkat elemen seni dan budaya menerusi persembahan senam seni.
Sekolah yang menyertai program itu ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Bayan Lepas 2, SK Permatang Bertam, SK Telok Kumbar, SK Batu Kawan dan SK Bayan Baru.
Turut mengambil bahagian ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) George Town, SMK Valdor, SMK Convent Datuk Keramat dan SMK Tanjung Bunga.
Hadir sama Pengarah JKKN Pulau Pinang, Eezmadyna Azalin Nordin dan Penolong Pengarah Bahagian Pembangunan Produk Seni Budaya, Muhammad Haqkam Hariri.
Penganjuran COSS 2.0 dilihat dapat memberi ruang kepada pelajar mengembangkan kreativiti menerusi aktiviti fizikal sambil mengenali dan menghayati warisan seni budaya tempatan.
