Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Dato’ Mahfuz Omar mengingatkan pemimpin politik di Johor supaya tidak menjadikan Parti Tindakan Demokratik (DAP) sebagai sasaran ketika berkempen.
Namun bergantung kepada kerjasama parti itu apabila melibatkan pentadbiran dan pembangunan negeri.
Beliau berkata, rakyat kini semakin matang menilai politik dan tidak mudah menerima pendekatan yang berubah mengikut keadaan.
Menurutnya lagi, politik yang menggunakan sentimen kebencian ketika pilihan raya tetapi mengamalkan kerjasama selepas membentuk kerajaan hanya akan menghakis keyakinan rakyat terhadap keikhlasan pemimpin.
Selain itu, Mahfuz berkata, kerjasama antara Kerajaan Negeri Johor dan Kerajaan Persekutuan sememangnya penting demi kepentingan rakyat.
Namun, beliau mempersoalkan percanggahan naratif apabila pemimpin Pakatan Harapan (PH) dan DAP sering dijadikan sasaran politik.
Tetapi pada masa sama masih bekerjasama dalam pelaksanaan projek pembangunan.
Kenyataan itu dibuat susulan pertemuan Menteri Besar Johor, Dato’ Onn Hafiz Ghazi dan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, yang hadir bersama pada pelancaran operasi Perkhidmatan Shuttle Selatan di Stesen Kereta Api Kulai.
Walaupun sebelum ini saling berbalas kenyataan berhubung kerjasama politik menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Mahfuz turut menegaskan bahawa Johor memperoleh pelbagai manfaat hasil kerjasama erat dengan Kerajaan Persekutuan menerusi projek strategik yang diterajui kementerian di bawah PH.
Justeru, pemimpin perlu bersikap konsisten dan jujur dalam pendirian mereka serta tidak menjadikan sentimen kebencian sebagai modal politik ketika pilihan raya.
Beliau turut menegaskan rakyat Johor mahukan kepimpinan yang telus, konsisten dan berani mengakui hakikat bahawa kerjasama politik yang memberi manfaat kepada rakyat tidak sepatutnya dipolitikkan mengikut kepentingan semasa.
Dalam pada itu, Mahfuz berkata, perbezaan ideologi politik tidak seharusnya menghalang kerjasama dalam perkara yang memberi manfaat kepada rakyat dan pembangunan negara.
Beliau juga menegaskan, pemimpin perlu menyampaikan mesej yang selaras antara kenyataan ketika berkempen dan tindakan apabila mentadbir.
Katanya yang juga Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), kegagalan berbuat demikian hanya akan menimbulkan persepsi bahawa pendirian politik berubah mengikut kepentingan semasa.
Tambahan lagi, beliau turut mengingatkan bahawa rakyat kini lebih mudah menilai rekod serta konsistensi seseorang pemimpin melalui pelbagai saluran maklumat.
Malah menurutnya, kepercayaan rakyat merupakan aset paling penting dalam memastikan kestabilan politik dan pentadbiran yang berkesan.
Sehubungan itu, beliau menggesa semua pihak mengamalkan politik yang lebih matang dengan mengutamakan fakta serta kejujuran berbanding retorik yang mengelirukan.
Tambahnya lagi, budaya saling menyalahkan atau memainkan sentimen kebencian hanya akan menjejaskan usaha membina keyakinan pelabur dan memacu pembangunan negeri.
Justeru, beliau juga berharap semua pemimpin politik dapat meletakkan kepentingan rakyat mengatasi percaturan politik demi menjamin kemajuan Johor secara berterusan.
Pautan Video: https://m.youtube.com/watch?v=k3VCbWX0voI&ra=m
