Bekas Ahli Jawatankuasa (AJK) PAS Pusat, Dr Mohd Zuhdi Marsuki mendakwa kewujudan kumpulan yang disifatkannya sebagai “daulah terpendam” atau ‘deep state’ dalam PAS menjadi antara punca kepada beberapa pergolakan politik yang membabitkan parti-parti Melayu-Islam sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Tanpa menamakan mana-mana individu, beliau berkata kumpulan itu mengamalkan politik ala Machiavelli dengan menghalalkan pelbagai cara bagi mencapai kepentingan politik mereka.
“Saya dan beberapa sahabat sedang berperang dengan golongan ‘daulah terpendam’ atau ‘deep state’ di dalam PAS.
“Golongan ini beramal dengan politik Machiavellinisme yang boleh menghalalkan cara mereka berpolitik untuk mencapai kepentingan politik mereka sendiri,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Menurut Zuhdi, kumpulan berkenaan bukan sahaja wujud dalam PAS, malah merentasi beberapa parti politik dan didakwa berupaya mempengaruhi keputusan kepimpinan parti mengikut strategi yang dirancang.
Beliau mendakwa kumpulan itu turut memainkan peranan dalam mencorakkan landskap politik negara, termasuk menentukan bila parti-parti politik perlu berpecah atau digabungkan.
“Apabila mereka mahu memecahkan parti-parti politik termasuk parti Melayu-Islam, mereka akan pecahkan.
“Apabila mereka mahu menggabungkan parti-parti politik termasuk melibatkan parti cauvinis, mereka akan gabungkan,” ujarnya lagi dipetik Harapan Daily.
Zuhdi turut mengaitkan beberapa perkembangan politik sejak kebelakangan ini dengan dakwaan kewujudan kumpulan tersebut.
Menurutnya lagi, pembubaran Gagasan Sejahtera, kegagalan Muafakat Nasional (MN), selain kemelut yang kini melanda Perikatan Nasional (PN), merupakan sebahagian daripada perancangan kumpulan yang didakwanya itu.
Beliau turut mendakwa usaha menghidupkan semula Muafakat Nasional atau MN 2.0 juga berisiko menemui kegagalan sekiranya kumpulan sama terus mempengaruhi hala tuju politik.
“Selagi golongan daulah terpendam ini masih menguasai, jangan terkejut jika selepas ini MN 2.0 juga boleh berkubur,” jelasnya.
Zuhdi turut mendakwa UMNO dan Bersatu pernah berdepan pengaruh kumpulan sama, dengan UMNO disifatkannya bertindak lebih awal mengekang pengaruh tersebut manakala Bersatu pula didakwa agak lewat berbuat demikian.
Malah, beliau berkata, PAS juga tidak terkecuali daripada berdepan kelompok berkenaan dan mendakwa kumpulan itu mula “kepanasan” apabila isu tersebut dibangkitkan.
Dalam kenyataan sama, Zuhdi turut mendakwa kumpulan yang dimaksudkan sebelum ini menggunakan Allahyarham Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai “perisai” apabila berdepan kritikan, manakala kini cuba melakukan perkara sama dengan menggunakan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang.
Kenyataan Zuhdi itu hadir ketika spekulasi mengenai hubungan PAS dengan rakan-rakan politiknya, termasuk perbincangan mengenai kemungkinan menghidupkan semula MN, terus menjadi perhatian dalam landskap politik negara.
Dalam pada itu, PAS juga didakwa cuba mengambil kredit di sebalik kemenangan besar Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, walaupun rundingan kerjasama dengan UMNO sebelum pilihan raya itu berakhir tanpa kata sepakat.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, tindakan Presiden PAS, yang mendedahkan rundingan baharu antara kedua-dua parti bagi menghadapi PRN Negeri Sembilan tidak mengubah hakikat bahawa beberapa usaha kerjasama sebelum ini telah gagal.
“Haji Hadi mendedahkan UMNO-PAS sedang berunding untuk PRN Negeri Sembilan. Komen balas (Presiden UMNO,Dato’ Seri Dr Ahmad) Zahid amat negatif.
“Kalau ikut rekod, ia akan gagal. Muafakat Nasional (MN) gagal, Langkah Bangkok juga gagal,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Malah menurut Puad, dalam mesyuarat MKT Umno pada 10 Jun lalu, Ahmad Zahid memaklumkan rundingan telah diadakan dengan PAS bagi menghadapi PRN Johor.
Katanya, antara cadangan yang dipersetujui pada peringkat awal ialah PAS tidak bertanding di mana-mana kerusi, termasuk DUN Maharani, sebagai pertukaran kepada kemungkinan diberikan jawatan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lantikan.
“MKT bersetuju memberi mandat kepada Zahid untuk meneruskan rundingan, tetapi akhirnya ia tetap gagal.
“Ini bermakna sudah tiga kali rundingan gagal. Apakah rundingan kali keempat untuk Negeri Sembilan akan berjaya? Saya ragu,” ujarnya lagi.
Sehubungan dengan itu, Puad mendakwa kegagalan rundingan itu terbukti apabila PAS akhirnya tetap bertanding di 11 kerusi pada PRN Johor.
Beliau turut mendakwa PAS kini cuba mengaitkan dirinya dengan kemenangan besar BN di Johor, walaupun parti itu bertanding menentang gabungan berkenaan.
“Saya yakin PAS tetap dengan objektif utamanya, iaitu tidak akan membenarkan Umno menjadi parti politik Melayu yang dominan,” jelasnya.
Tambahnya lagi, PAS tidak mempunyai masalah sekiranya UMNO menang besar di Johor, namun mendakwa parti itu tidak akan memberi laluan mudah kepada UMNO untuk kembali bertanding secara meluas di negeri-negeri yang dikuasainya seperti Terengganu, Kedah dan Perlis.
Beliau turut menjangkakan jika kerjasama UMNO-PAS kembali dibincangkan menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), isu pembahagian kerusi Parlimen, khususnya kawasan Felda, bakal menjadi antara perkara paling sukar diselesaikan.
Katanya lagi, PAS dijangka enggan melepaskan kerusi Parlimen Felda yang dimenanginya pada PRU15, manakala UMNO pula mahu merampas semula kawasan tersebut bagi menambah jumlah kerusi Parlimennya.
Selain itu, Puad turut mengaitkan keputusan kerajaan tidak menyambung kontrak Dato’ Sri Ahmad Shabery Cheek sebagai Pengerusi Felda dengan cabaran UMNO untuk menawan semula kerusi-kerusi Parlimen Felda.
Kenyataan Puad dibuat ketika spekulasi mengenai kemungkinan kerjasama semula antara Umno dan Pas kembali hangat selepas Abdul Hadi mendedahkan wujud perbincangan berkaitan PRN Negeri Sembilan.
Di kala sesetengah parti politik sedang mengatur langkah dan caturan demi menyelamatkan kepentingan politik mereka, kerajaan Madani sudahpun kembali meneruskan kerja dan tanggungjawab mereka demi rakyat dan negara tercinta ini.
Justeru, nampaknya wujud bibit pengkhianatan ‘daulah terpendam’ yang kini semakin membusuk dalam parti yang mendakwa partinya sebagai parti suci.
Meminta dan merayu untuk bergabung bila memerlukan, namun terus berpecah bila tidak lagi memerlukan? Maka, apakah niat kalian sebenarnya? Bekerja demi rakyat atau demi menyelamatkan tengkuk leher sendiri?
Ingat! Rakyat sentiasa memerhati!
Pautan Video: https://m.youtube.com/watch?v=HTbaehdsyJw&pp=0gcJCZkLAYcqIYzv&ra=m
