Tindakan menggugurkan Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin dan Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali daripada jawatan utama dalam Perikatan Nasional (PN) didakwa mendedahkan usaha Parti Islam Se-Malaysia (PAS) untuk mengukuhkan penguasaan terhadap gabungan pembangkang itu.

Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz mendakwa rombakan yang diumumkan menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan bukan sekadar penyusunan organisasi.

Tetapi, sebaliknya mempunyai implikasi besar terhadap keseimbangan kuasa dalam Majlis Tertinggi (MT) PN.

Menurutnya, selepas pengguguran Radzi sebagai Ketua Pengarah Pilihan Raya PN dan Azmin sebagai Timbalan Setiausaha Agung, jumlah wakil PAS dalam MT PN meningkat kepada lapan orang.

Manakala, katanya lagi, wakil Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kini tinggal empat orang sahaja.

“Dengan perubahan ini, PAS mempunyai kelebihan yang jauh lebih besar dalam proses membuat keputusan dalam PN.

“Ia membolehkan mereka memaksimumkan pengaruh dalam Majlis Tertinggi dan mengurangkan peranan Bersatu dalam gabungan,” katanya dalam satu kenyataan.

Tun Faisal turut mempersoalkan tindakan mengadakan mesyuarat tergempar MT PN dalam masa terdekat.

Sedangkan, menurutnya sebelum ini, kepimpinan gabungan tidak menunjukkan kesungguhan menangani konflik dalaman atau mengadakan mesyuarat penting berkaitan pilihan raya.

Tambahnya lagi, sepanjang beberapa minggu lalu, pelbagai isu termasuk rundingan kerusi, persiapan pilihan raya dan mesyuarat jawatankuasa electoral pact tidak diberi perhatian sewajarnya.

Beliau turut mendakwa perkembangan terbaharu itu menunjukkan kecenderungan politik yang semakin autoritarian dalam PN.

“Sedikit demi sedikit rakyat dapat melihat sikap kuku besi dan permainan politik kotor yang sedang berlaku.

“Apabila matlamat menghalalkan cara, maka peraturan dan semangat kerjasama dalam gabungan mula diketepikan,” ujarnya lagi dipetik Harapan Daily.

Dalam pada itu, menurut Tun Faisal, bukan lagi rahsia bahawa terdapat kelompok tertentu dalam PAS yang mahu menguasai PN sepenuhnya dan menyingkirkan Bersatu daripada gabungan tersebut.

Beliau juga mendakwa pelbagai tindakan kebelakangan ini, termasuk isu watikah calon, dominasi dalam Majlis Tertinggi dan usaha mengehadkan peranan Majlis Presiden, memberi gambaran ke arah tersebut.

Malah, katanya, pengguguran Radzi dan Azmin turut dilihat sebagai langkah strategik untuk mengubah imbangan undi dalam MT PN supaya lebih memihak kepada PAS.

“Dengan konfigurasi baharu ini, PAS berada dalam kedudukan yang lebih selesa untuk menentukan keputusan organisasi kerana mereka yakin mendapat sokongan sekutu tertentu dalam gabungan,” jelasnya.

Tun Faisal bagaimanapun menegaskan Bersatu tidak akan berdiam diri dan akan terus mempertahankan kedudukan serta prinsip asal penubuhan PN.

“BERSATU komited untuk mempertahankan PN.

“Namun kami juga berharap masih ada pihak dalam PAS yang berani menghentikan kerakusan dan permainan politik yang sedang berlaku dari dalam parti itu sendiri,” katanya lagi.

Ekoran daripada kenyataan itu, ia menambahkan lagi ketegangan yang sedang melanda hubungan PAS dan Bersatu.

Di kala kedua-dua parti berdepan persoalan mengenai hala tuju serta struktur kuasa dalam PN ketika menjelang beberapa pilihan raya penting yang bakal berlangsung tidak lama lagi.

Nahh! Dulu Bersatu yang kononnya bersatu kini sudah berkecai hancur berpecah-belah.

Dan bagaimana kalian telah mengkhianati Pakatan Harapan (PH) dulu, kini kalian pula mengalami bagaimana rasanya bila dikhianati.

Sesudahnya, ‘kawan’ sesama ‘kawan’ juga yang saling menjatuhkan. Tidak perlu ada campur tangan orang luar.

Makanya, sentiasalah beringat sebelum berniat hendak melakukan kejahatan terhadap pihak lain kerana sesungguhnya buat baik dibalas baik, buat jahat dibalas jahat.

Dan bayangkan jika PAS ataupun Bersatu kuasai Putrajaya. Tidakkah kucar-kacir dibuatnya?

Ingat! Rakyat sentiasa memerhati!

Pautan Video: https://m.youtube.com/watch?v=F6fwFebx6fg&ra=m

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *