PETALING JAYA: Amalan bergantung kepada kopi dan minuman berkafein untuk mengekalkan tenaga ketika bekerja berisiko menyebabkan tanda awal diabetes serta gangguan kesihatan metabolik tidak disedari, khususnya dalam kalangan golongan profesional yang menjalani rutin kerja berintensiti tinggi.
Perunding kesihatan dan jurulatih kecergasan, Murad Zaidi berkata, keletihan berpanjangan, mengantuk, sukar memberi tumpuan dan kekurangan tenaga sering dianggap berpunca daripada beban kerja, sedangkan keadaan itu mungkin berkait dengan paras gula darah yang tidak stabil serta rintangan insulin.
Menurut beliau, ramai individu terutama dalam lingkungan usia lewat 30-an hingga 50-an bergantung kepada kafein untuk meneruskan aktiviti harian tanpa menyedari gaya hidup seperti waktu makan tidak teratur, kurang tidur dan tekanan kronik sebenarnya mempercepatkan kemerosotan kesihatan metabolik.
Katanya, diabetes tidak berlaku secara tiba-tiba apabila seseorang menerima diagnosis, sebaliknya penyakit itu berkembang secara perlahan selama bertahun-tahun dengan pelbagai petanda awal yang sering diabaikan.
Antara gejala yang perlu diberi perhatian ialah pertambahan lemak di bahagian perut, cepat letih selepas makan, sukar mengawal selera makan, kurang fokus, tidur tidak berkualiti serta tempoh pemulihan badan yang semakin perlahan.
Beliau menegaskan bahawa simptom tersebut tidak seharusnya dianggap sebagai kesan normal akibat peningkatan usia atau kesibukan bekerja. Sebaliknya, pemeriksaan kesihatan berkala, pengambilan makanan seimbang, tidur yang mencukupi, aktiviti fizikal secara konsisten serta pengurusan tekanan yang baik merupakan langkah penting untuk mengurangkan risiko diabetes dan penyakit metabolik pada masa hadapan.
Kesedaran terhadap tanda-tanda awal diabetes perlu dipertingkatkan kerana pengesanan awal mampu membantu mengawal penyakit sebelum berlaku komplikasi serius seperti kerosakan buah pinggang, penyakit jantung, strok, gangguan penglihatan dan kerosakan saraf. Pemeriksaan berkala terutama bagi individu yang mempunyai sejarah keluarga menghidap diabetes atau berdepan faktor risiko lain amat digalakkan.
Pakar turut mengingatkan bahawa pengambilan kopi secara sederhana bukanlah punca utama diabetes, namun ia tidak seharusnya dijadikan penyelesaian untuk mengatasi keletihan yang berpunca daripada gaya hidup tidak sihat. Sebaliknya, perubahan kepada rutin harian yang lebih seimbang, termasuk pemakanan berkhasiat, tidur mencukupi, pengurusan stres dan senaman berkala, mampu membantu meningkatkan kesihatan metabolik serta mengurangkan risiko penyakit kronik.
