PARKINSON MENINGKAT, RAWATAN DBS BANTU PESAKIT KEMBALI BERDIKARI

KUALA LUMPUR – Penyakit Parkinson bukan sekadar masalah tangan menggeletar, sebaliknya gangguan neurodegeneratif serius yang menjejaskan pergerakan, pemikiran dan kualiti hidup pesakit, dengan jumlah kes di Malaysia dijangka meningkat lima kali ganda menjelang tahun 2040.

Pakar Perunding Neurologi dan Perubatan Subang Jaya Medical Centre, Dr. Phua Chun Sengberkata, Parkinson berlaku akibat kerosakan atau kematian sel saraf di bahagian otak yang mengurangkan penghasilan dopamin iaitu bahan kimia penting untuk mengawal pergerakan tubuh secara lancar.

Menurut beliau, gejala penyakit itu bersifat progresif dan biasanya bermula dengan tanda ringan seperti tangan atau jari bergetar ketika berehat, pergerakan perlahan, kekejangan otot dan masalah keseimbangan badan.

Katanya, terdapat juga petanda awal lain yang sering tidak disedari termasuk kemerosotan deria bau, tulisan tangan semakin kecil dan pertuturan menjadi perlahan.

“Parkinson bukan sekadar keadaan tubuh bergetar. Ia keadaan yang menjejaskan cara seseorang bergerak, berfikir dan berfungsi dalam kehidupan seharian.

“Walaupun keadaan tubuh bergetar itu adalah tanda yang mudah dikenali, tidak semua pesakit mengalaminya. Penyakit ini lazimnya bermula pada satu sisi tubuh sebelum gejala menjadi semakin serius,” katanya.

Beliau menjelaskan, apabila penyakit itu berkembang, pesakit mula berdepan kesukaran melakukan aktiviti harian seperti berjalan, berpakaian dan makan selain berisiko tinggi mengalami masalah keseimbangan serta jatuh.

Menurutnya lagi, Parkinson turut memberi kesan terhadap kesihatan mental termasuk menyebabkan keletihan, kebimbangan, kemurungan dan kesukaran menumpukan perhatian.

Dr. Phua berkata, punca sebenar penyakit itu masih belum diketahui sepenuhnya, namun ia dipercayai berkait rapat dengan gabungan faktor genetik, peningkatan usia dan persekitaran.

“Parkinson bukan sebahagian normal daripada proses penuaan. Ia merupakan penyakit neurodegeneratif kedua paling lazim di dunia dan jumlah pesakit dijangka meningkat secara ketara dalam beberapa dekad akan datang,” katanya.

Beliau berkata, di Malaysia dianggarkan terdapat sekitar 20,000 pesakit Parkinson pada tahun2018 dan jumlah itu dijangka meningkat mendadak menjelang 2040, sekali gus menuntut kesedaran lebih tinggi mengenai kepentingan diagnosis awal serta rawatan tepat pada masanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Dr. Phua berkata, selain rawatan ubat-ubatan, antara terapi moden yang semakin mendapat perhatian ialah Deep Brain Stimulation (DBS), iaitu rawatan menggunakan rangsangan elektrik terkawal ke bahagian tertentu otak yang mengawal pergerakan.

Katanya, terapi itu boleh membantu pesakit yang mengalami turun naik gejala motor walaupun masih memberi tindak balas baik terhadap ubat utama Parkinson.

“DBS tidak memusnahkan tisu otak dan tetapannya boleh dilaraskan atau diterbalikkan mengikut perubahan gejala pesakit dari semasa ke semasa,” katanya.

Menurut beliau, pemilihan pesakit amat penting dengan faktor seperti usia, fungsi kognitif dan tahap kesihatan keseluruhan perlu dinilai secara teliti sebelum prosedur dilakukan.

Pesakit yang lebih muda, khususnya berusia bawah 70 tahun, lazimnya menunjukkan hasil rawatan lebih konsisten.

Dr. Phua turut berkongsi pengalaman seorang pesakit lelaki berusia lewat 50-an yang menghidap Parkinson lebih sedekad sehingga mengalami kesukaran melakukan aktiviti mudah termasuk makan, menulis dan memakai pakaian.

“Selepas menjalani DBS, dia mampu berdikari semula, kembali berkebun dan menikmati tidur yang lebih baik. Rawatan itu memberi perubahan besar terhadap keyakinan dan kualiti hidupnya,” katanya.

Sementara itu, Perunding Pakar Bedah Saraf Subang Jaya Medical Centre, Dr. Kalai Arasu Muthusamy berkata, walaupun pembedahan otak sering menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pesakit, prosedur DBS moden kini lebih selamat, tepat dan invasif minimum.

Menurut beliau, prosedur itu hanya membabitkan hirisan kecil kira-kira dua sentimeter dengan elektrod dipasang secara tepat pada bahagian otak tertentu.

“Ia bukan ubat yang menghentikan penyakit daripada merebak, namun mampu mengurangkan gejala seperti getaran, kekakuan dan pergerakan perlahan secara ketara.

“Apabila dilakukan oleh pasukan berpengalaman, DBS dianggap prosedur standard yang selamat dengan kadar komplikasi dan kematian yang sangat rendah,” katanya.

Beliau berkata, perkembangan teknologi perubatan kini membolehkan rawatan Parkinson lebih diperhalusi dan disesuaikan mengikut keadaan pesakit berbanding pendekatan lama yang lebih invasif serta merosakkan tisu otak.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *