KOTA KINABALU: Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sabah akan menjalankan siasatan menyeluruh berhubung kes buli membabitkan seorang murid perempuan berusia 10 tahun di sebuah asrama sekolah rendah di daerah Tenom selepas siasatan polis selesai.
Kejadian yang berlaku pada 11 Jun lalu itu mendapat perhatian ramai selepas rakaman video berdurasi kira-kira satu minit 30 saat tular di media sosial, memaparkan mangsa menangis, ditarik rambut, dipukul, ditendang serta diarahkan mencuci muka oleh seorang murid lain yang dipercayai rakan sebiliknya.
Ketua Polis Daerah Tenom, Superintenden Azmir Abd. Razak berkata, laporan polis diterima pada pagi Selasa sebelum siasatan segera dijalankan. Hasil siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berpunca apabila mangsa secara tidak sengaja terlanggar tali ampaian sehingga pakaian milik suspek terjatuh ke tanah.
Menurut beliau, suspek yang berusia 11 tahun dipercayai bertindak memarahi mangsa sebelum menarik rambutnya masuk ke bilik asrama dan memukul serta menendangnya berulang kali. Mangsa dilaporkan mengalami retak pada kaki kiri selain kecederaan pada bahagian muka dan telah dirujuk ke hospital untuk rawatan lanjut.
Polis turut memanggil beberapa murid bagi membantu siasatan termasuk pelaku dan individu yang dipercayai merakam kejadian menggunakan telefon bimbit milik suspek sebelum video berkenaan dimuat naik ke status WhatsApp dua hari selepas insiden berlaku. Telefon bimbit yang digunakan turut dirampas sebagai barang kes.
Kes disiasat mengikut Seksyen 325 dan Seksyen 507B Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. Polis turut mengingatkan orang ramai supaya tidak terus menyebarkan rakaman video berkenaan kerana boleh menjejaskan siasatan serta memberi kesan terhadap kebajikan dan emosi mangsa yang masih di bawah umur.
Sementara itu, Pengarah JPN Sabah, Datuk Raisin Saidin mengesahkan pihaknya menerima laporan mengenai kejadian tersebut dan akan mengambil tindakan susulan berdasarkan hasil siasatan polis. Beliau berkata, aspek keselamatan serta kebajikan murid sentiasa menjadi keutamaan dan sebarang bentuk buli di institusi pendidikan tidak akan dikompromi.
Insiden berkenaan sekali lagi mencetuskan kebimbangan terhadap isu keselamatan murid di asrama sekolah, sekali gus memperlihatkan keperluan memperkukuh mekanisme pencegahan buli melalui pemantauan yang lebih rapi, pendidikan sahsiah serta kerjasama erat antara sekolah, ibu bapa dan pihak berkuasa.
