KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan (KKM) mengambil pendekatan khusus bagi menambah baik fasiliti kesihatan di kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak dengan mengambil kira cabaran geografi, akses logistik serta keperluan berbeza di setiap lokasi.
Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Hanifah Hajar Taib berkata, hasil Jelajah Kesihatan Borneo mendapati setiap klinik kesihatan mempunyai keperluan tersendiri, termasuk penambahan peralatan dan kakitangan, pembesaran ruang, serta perpindahan ke lokasi yang lebih sesuai bagi memastikan perkhidmatan kesihatan dapat diberikan secara lebih berkesan.
Beliau berkata, faktor perubahan iklim yang meningkatkan risiko banjir turut mendorong KKM menaik taraf fasiliti kesihatan, termasuk meninggikan kedudukan peralatan perubatan dan perabot bagi mengelakkan kerosakan serta memastikan operasi klinik tidak terjejas ketika bencana.
Menurutnya, KKM juga memastikan semua klinik dan hospital di pedalaman mempunyai bekalan ubat mencukupi sekurang-kurangnya untuk tempoh tiga bulan sebagai langkah kesiapsiagaan menghadapi gangguan bekalan atau situasi kecemasan.
Selain itu, kementerian memberi perhatian kepada pemantauan dan rawatan penyakit endemik serta berjangkit seperti rabies dan denggi, khususnya di Sabah dan Sarawak, menerusi kerjasama rapat dengan agensi berkaitan dan kerajaan tempatan bagi memperkukuh tindakan pencegahan serta meningkatkan kesedaran masyarakat.
Hanifah berkata, Jelajah Kesihatan Borneo yang kini memasuki siri kedua menjadi platform penting untuk menilai keadaan sebenar di lapangan sekali gus membantu KKM merancang penambahbaikan secara lebih bersasar agar akses kepada perkhidmatan kesihatan berkualiti dapat dinikmati secara saksama oleh penduduk di seluruh negara.
Beliau berkata, maklum balas yang diperoleh sepanjang jelajah itu akan dijadikan asas dalam merangka keutamaan pembangunan infrastruktur kesihatan di Sabah dan Sarawak, termasuk menaik taraf klinik daif serta memperkukuh kapasiti kemudahan sedia ada mengikut keperluan setempat.
Tambahnya, KKM komited memastikan jurang akses perkhidmatan kesihatan antara bandar dan luar bandar dapat dikurangkan secara berperingkat melalui penyediaan kemudahan yang lebih moden, tenaga kerja mencukupi dan sistem penyampaian perkhidmatan yang lebih cekap demi kesejahteraan penduduk di kawasan pedalaman.
