SEREMBAN – Cadangan pembinaan sebuah hospital baharu di Bandar Enstek, Nilai yang diumumkan dalam manifesto Pakatan Harapan (PH) disambut positif penduduk kerana dilihat mampu mengurangkan kesesakan di Hospital Tuanku Jaafar (HTJ), Seremban yang kini menampung keperluan lebih 700,000 penduduk di daerah ini dan kawasan sekitarnya.
Penduduk berpendapat kemudahan kesihatan baharu itu amat diperlukan berikutan pertumbuhan pesat kawasan perumahan di Seremban, Nilai, Bandar Baru Enstek, Labu, Mantin dan Lenggeng yang meningkatkan permintaan terhadap perkhidmatan kesihatan awam.
Pekerja swasta, Siti Nurhamizah Redzwan, 33, berkata, hospital baharu itu mampu memudahkan orang ramai mendapatkan rawatan tanpa perlu bergantung sepenuhnya kepada HTJ yang sering sesak dengan pesakit.
Pesara tentera, Norhayati Johari, 55, pula berharap projek itu dapat direalisasikan segera kerana hanya terdapat sebuah hospital kerajaan utama di Seremban, sekali gus menyebabkan tempoh menunggu rawatan menjadi lebih panjang.
Sementara itu, pekerja swasta, Khairul Fitri, 34, berkata pembinaan hospital baharu perlu disertai dengan penambahan doktor, jururawat serta tenaga kesihatan lain bagi memastikan kualiti perkhidmatan dapat dipertingkatkan dan masalah kesesakan benar-benar dapat diatasi.
Bagi penduduk Lenggeng, Muhammad Noor Firdaus Saberi, hospital baharu itu bukan sahaja dapat mengagihkan jumlah pesakit dengan lebih seimbang, malah meningkatkan akses kepada rawatan terutama bagi warga emas, ibu mengandung, kanak-kanak dan pesakit kronik yang memerlukan rawatan susulan secara berkala.
Menurutnya, kemudahan kesihatan yang lebih dekat akan mengurangkan masa perjalanan pesakit, mempercepatkan penerimaan rawatan serta membantu meningkatkan kecekapan sistem kesihatan awam di Negeri Sembilan sejajar dengan pertambahan penduduk dan pembangunan pesat kawasan berkenaan.
Selain mengurangkan kesesakan di HTJ, pembinaan hospital baharu itu turut dijangka memperkukuh kesiapsiagaan sistem kesihatan negeri dalam menghadapi peningkatan kes penyakit tidak berjangkit, kecemasan serta keperluan rawatan pakar. Penduduk berharap projek berkenaan dapat dilaksanakan mengikut perancangan agar manfaatnya dapat dinikmati lebih awal oleh masyarakat, khususnya di kawasan Nilai dan Seremban yang terus berkembang pesat.
