GELOMBANG HABA JEJAS KESIHATAN RAKYAT

KUALA LUMPUR: Fenomena El Nino yang dijangka berlarutan sehingga awal 2027 bukan sahaja mengancam bekalan air dan sektor ekonomi negara, malah meningkatkan risiko kesihatan awam susulan cuaca lebih panas serta taburan hujan yang semakin berkurangan.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, Malaysia dijangka mengalami penurunan kadar taburan hujan antara 40 hingga 60 peratus di beberapa kawasan, sekali gus meningkatkan risiko gelombang haba, dehidrasi, strok haba dan penyakit berkaitan cuaca panas terutama dalam kalangan kanak-kanak, warga emas serta individu yang mempunyai penyakit kronik.

Beliau berkata, perubahan iklim bukan lagi ancaman masa depan kerana kesannya sudah dirasai melalui kejadian banjir besar, hakisan pantai dan suhu yang pernah mencecah 37.5 darjah Celsius di beberapa lokasi.

Menurutnya, keadaan cuaca ekstrem turut memberi tekanan kepada sistem kesihatan awam apabila permintaan terhadap rawatan berkaitan penyakit akibat haba dijangka meningkat, selain menjejaskan kesejahteraan mental serta produktiviti masyarakat.

Arthur turut menggesa masyarakat mengubah persepsi bahawa peralihan kepada ekonomi hijau adalah beban kewangan, sebaliknya melihatnya sebagai pelaburan jangka panjang bagi mewujudkan persekitaran lebih sihat, bandar yang lebih mampan dan kualiti hidup yang lebih baik.

Beliau berkata, kerajaan sedang mempercepat pelaksanaan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan menyokong pembangunan Grid Kuasa ASEAN sebagai langkah memperkukuh daya tahan negara terhadap perubahan iklim serta menjamin keselamatan tenaga.

Pada masa sama, beliau menyeru golongan belia menjadi pemangkin kepada usaha kelestarian alam kerana kejayaan menangani perubahan iklim memerlukan kerjasama semua pihak, termasuk masyarakat, industri dan generasi muda, demi melindungi kesihatan rakyat serta kesejahteraan negara pada masa hadapan.

Selain itu, orang ramai disaran meningkatkan langkah pencegahan ketika cuaca panas dengan memastikan pengambilan air mencukupi, mengurangkan aktiviti luar pada waktu kemuncak panas, memakai pakaian yang sesuai serta mendapatkan rawatan segera sekiranya mengalami simptom seperti pening, keletihan melampau, kekejangan otot atau pengsan bagi mengelakkan komplikasi akibat strok haba.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *