KUALA LUMPUR – Jumlah kemasukan dan penggunaan perkhidmatan kesihatan oleh pesakit bukan warganegara, termasuk warga Rohingya, di fasiliti Kementerian Kesihatan (KKM) adalah rendah berbanding keseluruhan pesakit.
KKM dalam satu kenyataan memaklumkan, kemudahan kesihatan kerajaan terus dimanfaatkan sepenuhnya oleh rakyat Malaysia, selaras dengan keutamaan penyediaan perkhidmatan kesihatan awam negara.
Menurut kenyataan itu, kementerian sentiasa memantau pola penggunaan kemudahan kesihatan oleh pesakit bukan warganegara dari semasa ke semasa bagi membantu perancangan kapasiti serta melindungi tahap kesihatan awam secara menyeluruh.
Katanya, sistem pendaftaran dan maklumat pesakit KKM mengelaskan rekod berdasarkan status kewarganegaraan, iaitu warganegara dan bukan warganegara, bagi memastikan urusan kutipan caj perubatan dilaksanakan dengan tepat.
“Secara dasarnya, rekod pendaftaran perubatan tidak dikelaskan mengikut pecahan subetnik,” menurut kenyataan itu.
Penjelasan berkenaan dibuat susulan penularan dakwaan di media sosial bahawa semakin ramai warga Rohingya mendapatkan rawatan di hospital dan klinik kerajaan.
KKM menegaskan fasiliti kesihatan awam disediakan dengan keutamaan kepada kebajikan serta keperluan perubatan rakyat Malaysia. Bagaimanapun, rawatan kecemasan bagi menyelamatkan nyawa tetap diberikan kepada mana-mana pesakit berdasarkan tahap kecemasan dan keperluan klinikal.
Dalam pada itu, pesakit bukan warganegara, termasuk pemegang kad Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR), dikenakan kadar fi penuh serta deposit yang lebih tinggi berbanding warganegara, tertakluk kepada peruntukan Perintah Fi (Perubatan) (Kos Perkhidmatan) 2014.
Bagi memastikan kelestarian kewangan sistem kesihatan awam, KKM turut melaksanakan pendekatan collect before discharge, iaitu mengoptimumkan kutipan deposit dan bayaran rawatan ketika pesakit masih berada di wad.
Menurut kementerian itu, tindakan susulan terhadap tunggakan bil turut dilaksanakan secara berperingkat mengikut prosedur kewangan, termasuk melalui surat peringatan dan notis undang-undang.
Selain itu, KKM bekerjasama dengan agensi berkaitan serta badan bukan kerajaan (NGO) bagi memudahkan bantuan kewangan kepada pesakit yang benar-benar memerlukan, tanpa membebankan dana awam.
KKM menegaskan pemantauan berterusan, penguatkuasaan kutipan caj dan pengurusan sumber secara berhemah penting bagi memastikan perkhidmatan kesihatan awam kekal mampan, di samping keperluan rawatan kecemasan terus diberikan berdasarkan pertimbangan klinikal.
