KESUBURAN BUKAN SEKADAR SOAL HORMON, KESIHATAN METABOLIK TURUT PENTING

KUALA LUMPUR – Usaha mendapatkan zuriat bukan hanya bergantung kepada tahap kesuburan, sebaliknya turut dipengaruhi kesihatan tubuh secara keseluruhan termasuk pemakanan, berat badan, tekanan, kualiti tidur dan tahap sensitiviti insulin.

Perkara itu semakin mendapat perhatian susulan kadar kesuburan Malaysia yang menurun kepada 1.6 anak bagi setiap wanita, jauh di bawah paras penggantian penduduk sebanyak 2.1 anak.

Dalam kalangan wanita, keadaan yang dikaitkan dengan gangguan hormon dan metabolik ialah Polycystic Ovary Syndrome (PCOS), yang dalam perkembangan istilah baharu pada 2026 dirujuk sebagai Polyendocrine Metabolic Ovarian Syndrome (PMOS).

Pakar Pemakanan Jabatan Sains Makanan, Fakulti Sains dan Teknologi Makanan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Nurul Shazini Ramli berkata, pengurusan keadaan berkenaan tidak seharusnya tertumpu kepada ubat atau rawatan kesuburan semata-mata kerana pemakanan dan gaya hidup turut memainkan peranan penting.

Katanya, antara ciri utama PMOS ialah rintangan insulin yang menyebabkan sel badan kurang sensitif terhadap insulin, sekali gus mendorong pankreas menghasilkan lebih banyak hormon berkenaan.

“Paras insulin yang tinggi boleh mempengaruhi keseimbangan hormon dengan merangsang ovari menghasilkan androgen secara berlebihan serta mengurangkan penghasilan sex hormone-binding globulin (SHBG).

“Ketidakseimbangan hormon ini seterusnya boleh mengganggu pematangan folikel dan proses ovulasi, sekali gus memberi kesan kepada peluang seseorang wanita untuk hamil,” katanya.

Menurut beliau, matlamat pengurusan PMOS bukan sekadar menurunkan angka pada penimbang, sebaliknya meningkatkan sensitiviti insulin serta membentuk gaya hidup yang menyokong kesihatan metabolik.

Bagi wanita yang mempunyai berat badan berlebihan, pengurangan sekitar lima hingga 10 peratus berat badan boleh memberikan manfaat. Namun, beliau mengingatkan bahawa PMOS juga boleh berlaku dalam kalangan wanita yang mempunyai berat badan normal atau kurus.

“Jangan jadikan berat badan sebagai satu-satunya ukuran kejayaan. Kawalan gula darah, peningkatan sensitiviti insulin serta amalan gaya hidup sihat secara menyeluruh juga perlu diberi perhatian,” katanya.

Dari aspek pemakanan, beliau menyarankan wanita mengawal pengambilan gula dan jumlah karbohidrat dengan mengamalkan konsep Pinggan Sihat Malaysia, iaitu Suku-Suku-Separuh.

Katanya, karbohidrat tidak perlu dibuang sepenuhnya daripada diet kerana ia masih diperlukan sebagai sumber tenaga, terutama untuk otak dan otot.

Sebaliknya, pilihan karbohidrat kompleks dan tinggi serat seperti roti gandum penuh serta kekacang perlu diutamakan, selain mengawal saiz hidangan nasi, mi dan makanan berasaskan tepung.

Setiap hidangan juga perlu dilengkapi sumber protein seperti ikan, ayam tanpa kulit, telur, tauhu, tempe, susu rendah lemak dan kekacang bagi membantu memberikan rasa kenyang lebih lama.

Sayur-sayuran seperti brokoli, bayam, kailan, sawi dan salad pula kaya dengan serat yang membantu memperlahankan penyerapan glukosa serta menyokong kesihatan usus.

Nurul Shazini berkata, aktiviti fizikal juga perlu dijadikan rutin kerana senaman seperti berjalan pantas, berbasikal atau berenang, bersama latihan kekuatan sekurang-kurangnya dua kali seminggu, boleh membantu meningkatkan sensitiviti insulin.

Pada masa sama, tidur mencukupi dan pengurusan tekanan tidak boleh dipandang ringan kerana tidur kurang daripada tujuh jam serta tekanan kronik boleh mempengaruhi hormon kortisol dan kesihatan metabolik.

“Wanita yang mengalami PMOS juga boleh berdepan keresahan, emosi tidak stabil, kemurungan dan tekanan perasaan.

“Jika keadaan itu berlarutan, mendapatkan bantuan doktor, kaunselor atau ahli psikologi bukan sesuatu yang perlu dimalukan,” katanya.

Beliau turut menasihatkan wanita yang mengesyaki mengalami PMOS supaya mendapatkan pemeriksaan doktor bagi menilai keadaan hormon dan metabolik secara menyeluruh.

Katanya, perubahan pemakanan dan gaya hidup perlu dilakukan secara konsisten kerana tiada jalan pintas dalam mengurus keadaan berkenaan.

“Kesuburan bukan semata-mata tentang rawatan atau ubat, sebaliknya turut berkait rapat dengan kesihatan tubuh secara keseluruhan.

“Perubahan kecil yang dilakukan secara konsisten setiap hari mampu menjadi langkah besar untuk mencapai kesihatan lebih baik dan, bagi yang sedang berusaha mendapatkan zuriat, meningkatkan peluang untuk hamil,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *