KUALA LUMPUR – Seramai 10,000 mahasiswa Universiti Malaya (UM) dijangka menikmati kemudahan penginapan menerusi fasa pertama projek Residensi Siswa yang disasarkan siap pada 2030.
Projek pembangunan di atas tapak seluas 10.3 ekar itu merupakan antara usaha menangani kekurangan penginapan dalam kampus, selain membantu meringankan beban kos sewa yang ditanggung mahasiswa.
Naib Canselor UM, Prof. Datuk Seri Dr. Noor Azuan Abu Osman berkata, pelaksanaan projek berkenaan perlu dipercepatkan selepas hampir tiga tahun melalui pelbagai proses bagi merealisasikan penyediaan kediaman mahasiswa.
Katanya, keputusan dasar telah dibuat dan tapak pembangunan tersedia, justeru pelaksanaan projek perlu digerakkan dengan cekap tanpa mengulangi proses kelulusan yang tidak diperlukan.
Beliau berkata, sehingga 2024, ramai mahasiswa terpaksa menempuh perjalanan jauh serta berjimat cermat untuk membayar sewa rumah, sekali gus menambah tekanan ketika mengikuti pengajian.
Menurutnya, Residensi Siswa bukan sekadar menyediakan tempat berteduh, malah berperanan sebagai ruang untuk mahasiswa membina persahabatan, mengembangkan kepimpinan serta meneroka potensi diri sepanjang berada di universiti.
Noor Azuan berkata, UM mengambil masa lebih setahun untuk mengadakan pembentangan kepada pelbagai agensi bagi mendapatkan pandangan dan kelulusan berkaitan pembangunan projek berkenaan.
Katanya, isu krisis penginapan universiti turut disentuh dalam pembentangan Belanjawan 2026 pada 9 Oktober 2025, yang menyaksikan UM diberikan peranan sebagai perintis pembangunan residensi siswa.
“Model pembangunan diputuskan, pembiayaan dimuktamadkan dan terma pelaksanaan diperhalus dalam Mesyuarat Khas Pemantauan Projek Strategik Negara pada 15 Disember 2025 yang dipengerusikan Perdana Menteri,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Projek Residensi Siswa UM di Kolej Kediaman Kelima UM di sini semalam.
Beliau berkata, penyediaan kediaman yang selamat dan selesa merupakan asas penting dalam memastikan mahasiswa dapat menjalani kehidupan kampus dengan lebih teratur serta memberi tumpuan kepada pembelajaran.
Katanya, kadar penginapan akan dikekalkan pada tahap munasabah, manakala pembangunan projek akan dilaksanakan mengikut undang-undang dan tatakelola yang ditetapkan.
Secara keseluruhan, pembangunan Residensi Siswa UM dirancang dilaksanakan secara berfasa dengan sasaran menyediakan kemudahan penginapan sehingga 40,000 mahasiswa. Inisiatif itu diharap dapat memperluas akses kepada kediaman dalam kampus, mengurangkan tekanan kos sara hidup dan mewujudkan persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif kepada golongan mahasiswa.
