KKM SASAR HOSPITAL DIGITAL SEPENUHNYA MENJELANG 2029

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan (KKM) menyasarkan pendigitalan sepenuhnya di semua fasiliti kesihatan awam sebelum tahun 2029 dalam usaha mengurangkan beban birokrasi serta tekanan kerja yang dihadapi petugas kesihatan di negara ini.

Menteri Kesihatan, Dzulkefly Ahmad berkata, reformasi menyeluruh sistem kesihatan kini menjadi fokus utama kementerian termasuk menangani isu lambakan dokumentasi manual dan tekanan mental dalam kalangan doktor serta petugas kesihatan.

Menurut beliau, usaha pendigitalan itu penting bagi memastikan doktor dapat kembali memberi tumpuan sepenuhnya kepada tugas hakiki mereka iaitu merawat pesakit tanpa perlu dibebani urusan pentadbiran yang rumit.

“Kita mahu doktor kembali kepada tugas hakiki iaitu merawat pesakit, tanpa perlu ‘berperang’ dengan birokrasi dan timbunan kertas kerja,” katanya menerusi kenyataan dan hantaran di Facebook.

Dalam masa sama, beliau menegaskan langkah menamatkan sistem doktor kontrak merupakan tindakan kritikal yang sedang dilaksanakan kerajaan, namun mengakui ia bukan penyelesaian mutlak terhadap semua cabaran yang dihadapi sektor kesihatan.

Sejak tahun 2023, lebih 14,000 pegawai perubatan telah dilantik ke jawatan tetap, manakala sebanyak 4,500 lagi jawatan tetap bakal ditawarkan bagi memastikan doktor muda mempunyai masa depan kerjaya lebih stabil.

Katanya, langkah itu mencerminkan komitmen fiskal kerajaan dalam memperkukuh sistem kesihatan awam serta menjaga kebajikan tenaga perubatan negara.

KKM turut melaksanakan pindaan terhadap Akta Perubatan 1971 (Akta 50) bagi memperkukuh laluan Parallel Pathway dan latihan kepakaran tempatan sebagai usaha melahirkan lebih ramai doktor pakar.

Menurut beliau, kementerian menyasarkan seramai 13,000 doktor pakar menjelang tahun 2030 bagi memastikan tenaga pakar tempatan terus kekal berkhidmat di negara ini.

Tambahnya, reformasi yang sedang dilaksanakan bukan sekadar membina sistem kesihatan yang lebih moden, malah bertujuan mewujudkan ekosistem kerja yang lebih manusiawi, mampan dan lestari untuk generasi akan datang.

“Iltizam saya dan seluruh warga KKM sangat jelas iaitu menamatkan era doktor kontrak serta membina sistem kesihatan yang lebih prihatin dan bermaruah untuk semua petugas kesihatan,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *