WANG AWAM BUKAN UNTUK KEPENTINGAN PERIBADI

Wang berbilion ringgit yang sepatutnya dimanfaatkan untuk pendidikan dan masa depan generasi muda tidak boleh dibiarkan diseleweng demi kepentingan peribadi, tegas Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Beliau menegaskan, penyalahgunaan wang awam bukan sahaja merugikan negara.

Malah menjejaskan peluang anak-anak mendapatkan pendidikan serta kemudahan yang diperlukan untuk membina masa depan lebih baik.

“Berbilion-bilion sepatutnya digunakan untuk pelajar dan anak-anak kita.

“Bukannya dicuri oleh perasuah. 

“Saya tidak boleh menerima perkara ini,” katanya dipetik Harapan Daily.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam dan Perasmian International Young Future Leaders Summit (iFUTURE) 2026 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).

PMX turut menegaskan bahawa isu utama negara bukan berkaitan kaum atau agama.

Sebaliknya perbuatan individu yang didakwa menggunakan sentimen tersebut untuk menutup salah laku, rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

Malah menurutnya lagi, wang awam perlu diurus secara bertanggungjawab bagi memastikan setiap peruntukan benar-benar memberi manfaat kepada rakyat.

Khususnya dalam sektor pendidikan dan kesihatan yang menjadi keutamaan kerajaan.

Tambahan lagi, beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan turut meningkatkan perbelanjaan bagi pendidikan, kesihatan dan sokongan sosial.

Antaranya termasuk bantuan kepada pekerja gig serta graduan muda.

Bagaimanapun, katanya, peruntukan besar tidak akan mencapai matlamat sekiranya pelaksanaannya tidak disertai tadbir urus yang baik, ketelusan dan usaha membendung ketirisan.

Sehubungan itu, mulai tahun depan, kontrak pembinaan sekolah, hospital, universiti dan jalan raya perlu dilaksanakan secara telus dengan maklumat penting projek didedahkan kepada umum.

Maklumat berkenaan merangkumi nama syarikat yang menerima kontrak, nilai projek, kemajuan pelaksanaan serta alasan pemilihan kontraktor berbanding pesaing lain.

Ahli Parlimen Tambun itu turut berkata, langkah itu bertujuan membolehkan masyarakat memantau pelaksanaan projek pembangunan.

Dan ia sekali gus memastikan wang pembayar cukai digunakan mengikut tujuan yang ditetapkan.

Dalam pada itu, beliau turut menggalakkan golongan muda tampil mengemukakan teguran dan cadangan bagi memperbaiki kelemahan pentadbiran.

Terutamanya termasuk dalam aspek kebersihan, pendigitalan dan penyampaian perkhidmatan awam.

Beliau turut mengingatkan pemimpin muda supaya menjadikan integriti, kerja keras dan keprihatinan terhadap kepentingan rakyat sebagai asas kepimpinan.

Mengulas mengenai penyertaan pelajar antarabangsa pada persidangan itu, PMX berkata, Malaysia mahu memastikan pelajar dari luar negara berasa selesa.

Terutamanya sepanjang tempoh pengajian dan menganggap negara ini sebagai rumah kedua mereka.

Beliau juga berharap persidangan berkenaan dapat memperkukuh persefahaman antara golongan muda pelbagai negara serta membuka ruang kerjasama yang bermanfaat demi masa depan bersama.

Pautan Video: https://m.youtube.com/watch?v=fL-25DgMGdQ&ra=m

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *