PUTRAJAYA – Kerajaan Perpaduan kekal stabil dan mampu memberi tumpuan sepenuhnya kepada usaha menangani cabaran ekonomi serta krisis semasa hasil sokongan padu semua parti komponen yang terus bersama pentadbiran Kerajaan MADANI.
Perdana Menteri, Anwar Ibrahim menzahirkan penghargaan terhadap komitmen yang ditunjukkan parti-parti dalam kerajaan termasuk Barisan Nasional (BN), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang kekal memberikan sokongan kepada Kerajaan Perpaduan.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil berkata, penghargaan tersebut disampaikan Perdana Menteri dalam mesyuarat Kabinet di Putrajaya hari ini.
Menurut beliau, sokongan berterusan semua parti komponen membolehkan kerajaan mengekalkan kestabilan politik dan memberi fokus kepada usaha memperkukuh ekonomi negara susulan ketidaktentuan global termasuk krisis yang berlaku di Asia Barat.
“Komitmen ini mencerminkan keutamaan yang diberikan terhadap kepentingan rakyat dan negara sekali gus membolehkan kerajaan memberikan tumpuan penuh dalam memastikan kebajikan rakyat terus terpelihara,” katanya pada sidang media pasca mesyuarat Kabinet hari ini.
Dalam perkembangan sama, Fahmi berkata, Perdana Menteri turut menghargai pendekatan sederhana yang diamalkan dalam penganjuran program rasmi kerajaan termasuk sambutan Hari Belia dan Hari Guru.
Katanya, langkah tersebut selari dengan usaha kerajaan untuk memastikan perbelanjaan lebih berhemah tanpa menjejaskan objektif serta pengisian program yang memberi manfaat kepada rakyat.
“Pendekatan kesederhanaan ini penting supaya perbelanjaan kerajaan lebih berfokus dan selaras dengan keperluan semasa negara,” katanya.
Beliau menambah, kerajaan akan terus mengekalkan disiplin perbelanjaan serta memberi penekanan kepada dasar yang mampu membantu rakyat menghadapi tekanan kos sara hidup dan ketidaktentuan ekonomi global.
