MANIFESTO BERSAMA DISIFATKAN ‘ANGAN-ANGAN MAT JENIN’

KUALA LUMPUR – Manifesto Parti Bersama Malaysia yang diperkenalkan Rafizi Ramlidisifatkan terlalu idealistik dan sukar dilaksanakan dalam realiti pentadbiran negara sehingga diibaratkan sebagai “angan-angan Mat Jenin”.

Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia (MAPAN), Mashitah Mohd Udin berkata, 12 agenda yang diketengahkan Rafizi sememangnya kedengaran menarik di peringkat slogan, namun kebanyakannya lebih bersifat populis berbanding pelan dasar yang benar-benar praktikal.

Menurut beliau, manifesto tersebut dipenuhi sasaran besar seperti bantuan bulanan universal, pertumbuhan ekonomi melebihi lima peratus dan kenaikan gaji tahunan, tetapi tidak disertakan mekanisme pelaksanaan yang jelas termasuk soal kos, sumber pembiayaan serta keutamaan fiskal negara.

“Dalam bidang dasar awam, sesiapa sahaja boleh menyebut mahu bantuan bulanan universal, pertumbuhan ekonomi lebih lima peratus atau kenaikan gaji tahunan.

“Namun persoalan utama ialah bagaimana semua itu mahu dibiayai dan dilaksanakan dalam keadaan fiskal negara yang terbatas,” katanya.

Beliau berkata, cadangan bantuan bulanan automatik kepada semua isi rumah misalnya akan memberi implikasi kewangan yang sangat besar kepada kerajaan sekiranya tiada penjelasan terperinci mengenai jumlah bantuan, golongan penerima dan sumber kewangan.

Mashitah turut mempertikaikan sasaran pertumbuhan ekonomi dan kenaikan gaji melebihi lima peratus secara konsisten kerana ia dipengaruhi banyak faktor luar termasuk perdagangan global, pelaburan, kestabilan politik dan keyakinan pasaran.

“Malah negara maju sendiri tidak mampu menjamin pertumbuhan tinggi secara konsisten untuk tempoh panjang seperti dijanjikan.

“Sebab itu saya melihat manifesto ini seolah-olah menyerupai ‘angan-angan Mat Jenin’ yang sedap didengar tetapi terlalu idealistik dan tidak berpijak pada realiti pentadbiran negara,” katanya.

Dalam masa sama, beliau berkata rakyat juga berhak mempersoalkan mengapa sebahagian besar idea tersebut tidak diperjuangkan secara agresif ketika Rafizi masih berada dalam Kabinet sebagai Menteri Ekonomi.

Menurutnya, reformasi ekonomi besar yang kini dibawa menerusi manifesto Parti Bersama tidak dilaksanakan ketika beliau mempunyai akses langsung kepada proses pembentukan dasar kerajaan.

Beliau turut berpandangan bahawa hasrat Parti Bersama untuk bergerak solo pada PRU16 juga menimbulkan persoalan kerana sistem politik Malaysia bergantung kepada pembentukan kerajaan campuran.

Katanya, jika akhirnya parti itu tetap perlu bekerjasama dengan gabungan lain untuk membentuk kerajaan, idealisme yang dijual ketika ini tetap akan berdepan kompromi politik seperti dialami kerajaan terdahulu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *