KONGRES PKR CETUS TEKAD BAHARU

Kongres Nasional Parti Keadilan Rakyat (PKR) 2026 yang melabuhkan tirainya pada Ahad menjadi medan untuk memperbaharui tekad perjuangan parti.

Selain memperkukuh gerak kerja jentera bagi memastikan agenda reformasi terus memberi manfaat kepada rakyat.

Ketua Penerangan PKR, Dato’ Seri Fahmi Fadzil berkata, kongres yang berlangsung selama dua hari itu bukan sekadar ruang berucap dan berbahas.

Sebaliknya turut menjadi medan untuk bermuhasabah, mendengar suara akar umbi serta menilai kekuatan dan kelemahan parti.

Menurutnya, amanat Presiden PKR, Dato’ Seri Anwar Ibrahim jelas menegaskan bahawa perjuangan Reformasi perlu diteruskan.

Manakala kekuatan parti mesti sentiasa berpaksikan kepentingan rakyat.

Tambahan lagi katanya, berakhirnya kongres bukan bermakna gerak kerja parti turut berakhir.

Sebaliknya jentera perlu kembali ke kawasan masing-masing untuk memperkukuh hubungan dengan rakyat.

Selain itu tambahnya, anggota parti perlu mendengar pandangan serta memahami keresahan rakyat sebelum mencari penyelesaian terhadap isu yang dihadapi.

Beliau turut mengingatkan jentera PKR supaya memperkukuh organisasi dan bergerak sebagai satu pasukan yang tersusun serta berdisiplin.

“Cabaran politik akan terus datang.

Tetapi Keadilan mesti kekal teguh dengan prinsip dan agenda perjuangan rakyat,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Dalam pada itu, Fahmi juga berharap semangat yang dicetuskan menerusi kongres itu dapat diterjemahkan melalui gerak kerja yang lebih gigih di semua peringkat parti.

Khususnya dalam mendekati rakyat dan memastikan agenda perjuangan terus memberi manfaat kepada mereka.    

Menurut Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan, kekuatan parti tidak hanya bergantung kepada kepimpinan pusat.

Tetapi turut bergantung kepada keupayaan jentera di setiap kawasan mendekati masyarakat.

Beliau turut berkata, setiap anggota perlu memainkan peranan dalam memastikan suara dan keperluan rakyat terus menjadi keutamaan dalam gerak kerja parti.

Sehubungan itu, pendekatan itu penting bagi memastikan agenda Reformasi tidak hanya menjadi slogan.

Sebaliknya diterjemahkan menerusi tindakan yang memberi kesan kepada kehidupan rakyat.

Dalam masa sama, beliau juga menggesa seluruh anggota supaya mengetepikan perbezaan dan memberi tumpuan kepada matlamat bersama memperkukuh parti.

Fahmi turut menekankan kepentingan disiplin organisasi bagi memastikan setiap perancangan dapat dilaksanakan secara tersusun dan berkesan.

Malahan, beliau yakin semangat yang dibawa pulang oleh perwakilan selepas kongres dapat menjadi pemangkin kepada gerak kerja lebih aktif di peringkat akar umbi.

Justeru, jentera PKR kini perlu menterjemahkan keputusan dan amanat kongres melalui kerja berterusan bersama rakyat di seluruh negara.

Pautan Video: https://m.youtube.com/watch?v=OL9ukC5fup0&ra=m

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *