KEBAKARAN INDONESIA MAKIN GANAS, 107,000 HEKTAR TERJEJAS

JAKARTA – Indonesia kini berdepan ancaman kebakaran hutan dan tanah (karhutla) yang semakin serius apabila lebih 107,000 hektar kawasan terjejas sehingga awal Ogos 2026, ketika negara itu memasuki musim kemarau yang diburukkan fenomena El Nino.

Bagi menangani krisis berkenaan, kerajaan Indonesia mengerahkan lebih 48,000 anggotadi enam wilayah, selain menggerakkan aset udara dan darat bagi memadam serta mengawal kebakaran.

Sebanyak 43 helikopter telah dikerahkan, manakala antara 10 hingga 15 pesawat disediakan untuk digerakkan mengikut keperluan operasi.

Menteri Penyelaras Bidang Politik dan Keselamatan Indonesia, Djamari Chaniago berkata, Operasi Modifikasi Cuaca (OMC) menjadi antara kaedah utama bagi membantu memadamkan kebakaran berskala besar melalui hujan buatan.

Bagaimanapun, keberkesanan operasi itu bergantung kepada kewujudan awan hujan yang sesuai untuk proses pembenihan awan.

Dalam perkembangan berkaitan, puluhan sekolah di beberapa kawasan terjejas terpaksa ditutup berikutan jerebu tebal yang menyelubungi penempatan penduduk.

Di Pontianak, Kalimantan, pihak berkuasa mengarahkan sekolah ditutup dan pembelajaran dilaksanakan secara dalam talian selagi kualiti udara berada pada tahap tidak selamat.

Keadaan turut memburukkan situasi di Taman Negara Bromo Tengger Semeru, Jawa Timur, apabila kebakaran yang bermula pada 3 Ogos lalu memusnahkan ratusan hektar kawasan taman negara berkenaan.

BNPB sebelum ini melaporkan kebakaran di kawasan itu mencecah kira-kira 742 hektar, menyebabkan kawasan pelancongan tersebut ditutup kepada pengunjung.

Kira-kira 200 anggota bomba, renjer hutan, polis dan tentera terlibat dalam operasi memadamkan kebakaran, dengan sokongan tiga helikopter serta jentera bomba.

Dalam perkembangan terbaharu, BNPB turut mengesahkan empat kebakaran lain di Jawa Tengah, Jawa Barat, Jawa Timur dan Sulawesi Selatan berjaya dipadamkan, melibatkan keseluruhan 16 hektar kawasan.

Kebakaran terbesar berlaku di Sulawesi Selatan dengan keluasan tujuh hektar, diikuti lima hektar di Jawa Tengah.

BMKG memberi amaran Indonesia berdepan risiko musim kemarau yang lebih teruk dan berpanjangan tahun ini susulan pengaruh El Nino, sekali gus meningkatkan kemungkinan kebakaran hutan serta tanah.

Purata suhu udara Indonesia pada Julai turut direkodkan 27 darjah Celsius, meningkat berbanding 26.2 darjah Celsius dalam tempoh sama tahun lalu dan menjadi paras tertinggi bagi bulan berkenaan sejak 1991.

Keluasan kawasan yang terjejas akibat kebakaran tahun ini juga dilaporkan sudah dua kali ganda berbanding 2023, menimbulkan kebimbangan terhadap kualiti udara, kesihatan awam, ekonomi dan kehidupan harian penduduk.

Pihak berkuasa menggesa orang ramai supaya tidak menggunakan api untuk membersihkan tanah serta segera melaporkan sebarang titik panas bagi membolehkan tindakan pantas diambil.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *