PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) memperkukuh pemantauan penyakit berkaitan jerebu selepas 10 stesen merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap tidak sihat, terutama di beberapa kawasan Sarawak dan Selangor.
KKM dalam kenyataan memaklumkan kesiapsiagaan fasiliti kesihatan, anggota perubatan serta bekalan ubat dipertingkatkan bagi menghadapi kemungkinan peningkatan kes berkaitan jerebu.
Berdasarkan Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara (APIMS), sembilan kawasan di Sarawak merekodkan bacaan IPU tidak sihat, iaitu Serian, Samarahan, Kuching, Bintulu, Samalaju, Mukah, Sibu, Sarikei dan Sri Aman, manakala satu lagi kawasan ialah Johan Setia, Selangor.
KKM menasihatkan orang ramai di kawasan terjejas supaya mengurangkan aktiviti fizikal dan lasak di luar bangunan, terutama apabila bacaan IPU meningkat.
Aktiviti sukan, kokurikulum dan kegiatan fizikal di luar bangunan juga disarankan ditangguhkan atau dipindahkan ke ruang tertutup yang sesuai apabila IPU melebihi 100.
Orang ramai yang perlu berada di luar pula dinasihatkan menggunakan pelitup muka yang bersesuaian bagi mengurangkan pendedahan kepada udara tercemar.
Selain itu, pintu dan tingkap rumah disaran ditutup bagi mengehadkan kemasukan udara tercemar, manakala pengambilan air yang mencukupi perlu diberi perhatian.
Golongan berisiko seperti kanak-kanak, warga emas serta individu yang mempunyai penyakit kronik perlu diberi perhatian khusus kerana lebih mudah terjejas akibat pencemaran udara.
KKM turut menyeru institusi pendidikan, agensi kerajaan dan sektor swasta supaya memantau bacaan IPU secara berkala serta menyesuaikan aktiviti luar berdasarkan tahap kualiti udara semasa.
Orang ramai juga diingatkan supaya tidak melakukan pembakaran terbuka kerana tindakan itu boleh memburukkan keadaan jerebu dan meningkatkan risiko terhadap kesihatan awam.
KKM menegaskan langkah pencegahan dan pemantauan berterusan penting bagi mengurangkan kesan jerebu, khususnya ketika kualiti udara di beberapa kawasan mula berada pada tahap tidak sihat.
