BANGKOK – Polis Thailand menahan seorang lelaki Amerika berketurunan Cina selepas menyerbu kediamannya di Nong Prue, Chon Buri, yang dipercayai dijadikan makmal pemprosesan dadah.
Suspek yang hanya dikenali sebagai Liu, 42, ditahan kelmarin selepas polis menjalankan serbuan hasil siasatan terhadap kegiatan penjualan dadah secara sulit kepada warga asing di Thailand dan luar negara.
Hasil pemeriksaan, polis menemukan sebuah bilik tersembunyi yang diubah suai menjadi makmal memproses dadah, selain peralatan dipercayai digunakan untuk membancuh dan membungkus bahan terlarang.
Polis turut merampas lebih 60 gram kristal berwarna coklat muda yang dikenal pasti sebagai MDMA atau ekstasi, selain menemukan serbuk tidak dikenal pasti serta bahan berbentuk kristal di premis berkenaan.
Pemeriksaan telefon bimbit suspek pula menemukan nota berkaitan kaedah membancuh dadah, selain nama dan alamat penerima di Kuala Lumpur.
Penemuan itu menimbulkan syak wasangka bahawa Liu mempunyai kaitan dengan kegiatan pengedaran dadah merentasi sempadan, termasuk ke Malaysia.
Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti rangkaian pengedaran yang dipercayai mempunyai hubungan dengan suspek serta destinasi sebenar dadah berkenaan.
