WASHINGTON – China menegaskan isu Taiwan, demokrasi dan hak asasi manusia serta hak pembangunan negara itu sebagai antara ‘garis merah’ yang tidak boleh dicabar Amerika Syarikat (AS), menjelang pertemuan pemimpin kedua-dua negara.
Duta Besar China ke AS, Xie Feng berkata, hubungan Beijing-Washington memerlukan niat baik dan usaha bersama bagi menguruskan perbezaan, terutama ketika kedua-dua negara berdepan pertikaian berkaitan perdagangan, keselamatan dan status Taiwan.
Dalam penulisannya di akhbar rasmi Parti Komunis China, People’s Daily, beliau menggesa AS menghentikan penggunaan alasan seperti keselamatan negara, ketidakseimbangan ekonomi dan buruh paksa bagi mengekang pembangunan China.
“Apabila China dan AS bekerjasama, kedua-dua negara bakal mendapat manfaat, namun sekiranya berlaku konfrontasi, kedua-dua pihak akan menanggung kerugian,” katanya.
Menurut Xie, empat perkara yang tidak boleh dicabar ialah isu Taiwan, demokrasi dan hak asasi manusia, laluan serta sistem pembangunan dan hak China untuk membangun.
China secara konsisten menganggap Taiwan sebagai sebahagian daripada wilayahnya, manakala kerajaan di Taipei menolak tuntutan Beijing berkenaan.
Pada masa sama, AS kekal sebagai pembekal senjata dan antara penyokong antarabangsa utama Taiwan, menyebabkan Beijing berulang kali mendesak Washington menghentikan penjualan senjata kepada pulau berkenaan.
Sementara itu, seorang pegawai kanan keselamatan Taiwan mendakwa kelewatan penghantaran senjata AS boleh memberi ruang kepada Beijing meningkatkan tekanan ketenteraan di sekitar Taiwan serta kawasan perairan berhampiran Jepun dan Filipina.
Pegawai berkenaan turut mendakwa kehadiran kapal perang, pengawal pantai dan kapal penyelidikan China meningkat di sekitar Taiwan, Laut China Selatan dan Laut China Timur, termasuk aktiviti pengumpulan data yang berpotensi mempunyai implikasi keselamatan.
Perkembangan itu menambah tumpuan terhadap usaha Beijing dan Washington menstabilkan hubungan dua hala, khususnya ketika isu perdagangan, keselamatan serantau dan Taiwan terus menjadi antara perkara paling sensitif dalam hubungan kedua-dua kuasa besar berkenaan.
