GENEVA – Kadar pengangguran belia global meningkat kepada 12.4 peratus pada 2025, berbanding 12.3 peratus pada tahun sebelumnya, ketika kelembapan ekonomi dan perkembangan kecerdasan buatan (AI) mula memberi tekanan baharu terhadap pasaran pekerjaan.
Menurut Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO), peningkatan itu bersamaan kira-kira 67 juta belia berusia 15 hingga 24 tahun yang tidak mempunyai pekerjaan di seluruh dunia.
Dalam laporan Trend Pekerjaan Belia Global 2026, ILO turut merekodkan kadar belia yang tidak bekerja, tidak mengikuti pendidikan atau latihan (NEET) meningkat sedikit kepada 20 peratus, melibatkan lebih 257 juta orang.
Situasi itu menunjukkan pemulihan pasaran buruh belia selepas pandemik COVID-19 yang sebelum ini dilihat bersifat sementara kini mula terhenti.
Antara peningkatan pengangguran belia paling ketara berlaku di negara berpendapatan tinggi, khususnya apabila pekerjaan yang selama ini menjadi laluan utama golongan muda memasuki pasaran buruh semakin berkurangan.
Pekerjaan dalam sektor pejabat dan pentadbiran, jualan serta pembuatan antara bidang yang terjejas, manakala pertumbuhan ekonomi global yang perlahan, penciptaan pekerjaan yang terbatas dan ketegangan geopolitik turut menyukarkan golongan muda mendapatkan pekerjaan yang stabil.
Pada masa sama, perkembangan teknologi khususnya AI menimbulkan kebimbangan baharu apabila semakin ramai belia bimbang pekerjaan mereka berisiko digantikan atau berubah akibat automasi.
Bagaimanapun, ILO menegaskan masih terlalu awal untuk mengaitkan secara langsung peningkatan AI dengan kenaikan kadar pengangguran belia.
Ketua Unit Analisis Pekerjaan dan Dasar Ekonomi ILO, Sara Elder berkata, peningkatan serentak kadar pengangguran belia dan NEET perlu dilihat sebagai tanda amaran terhadap keadaan pasaran buruh.
ILO menjangkakan kadar pengangguran belia global kekal sekitar 12.3 peratus pada 2026 dan 2027, menunjukkan pemulihan kukuh masih belum kelihatan.
Pengarah Jabatan Pekerjaan, Kemahiran dan Perusahaan Lestari ILO, Sukti Dasgupta pula berkata, dunia kini berdepan ketidaktentuan ekonomi yang besar ketika risiko baharu berkaitan AI mula muncul.
Menurutnya, keadaan itu menguatkan keperluan untuk lebih banyak kajian bagi memahami kesan sebenar AI terhadap pekerjaan, khususnya terhadap golongan muda yang sedang memasuki alam pekerjaan.
Laporan ILO turut memberi amaran bahawa ketidakstabilan peluang pekerjaan dan pendapatan boleh meningkatkan kebimbangan golongan muda serta menjadikan peralihan daripada pendidikan kepada pekerjaan yang layak semakin mencabar.
