Dakwaan kononnya Johor dianaktirikan oleh Kerajaan Persekutuan disifatkan tidak berasas apabila rekod rasmi menunjukkan negeri itu menerima peruntukan pembangunan yang lebih tinggi di bawah pentadbiran Kerajaan MADANI pimpinan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim.
Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, semakan bersama Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri mendapati Johor menerima pelbagai peruntukan.
Antaranya peruntukan pembangunan sebanyak RM14.6 bilion sejak PMX mengambil alih pentadbiran negara pada 25 November 2022 berbanding RM10.2 bilion di bawah pentadbiran terdahulu.
Menurutnya, angka itu membuktikan Kerajaan Persekutuan terus memberi keutamaan kepada pembangunan Johor tanpa mengira latar belakang politik negeri berkenaan.
Makanya, ia sekali gus menolak dakwaan bahawa Johor dipinggirkan.
Sementara itu, Perdana Menteri berkata, berdasarkan rekod Kementerian Kewangan, Johor menyumbang kira-kira RM14 bilion hasil kepada Kerajaan Persekutuan bagi tempoh 2023 hingga 2025.
Namun, kerajaan menyalurkan semula kira-kira RM16 bilion kepada negeri itu menerusi pelbagai projek pembangunan, perbelanjaan mengurus dan program berkepentingan rakyat.
Beliau berkata, fakta tersebut membuktikan komitmen Kerajaan MADANI dalam memastikan hasil negara dikembalikan kepada rakyat.
Antaranya melalui pembangunan yang memberi impak besar kepada ekonomi dan kesejahteraan penduduk Johor.
Ahli Parlimen Tambun itu turut menjelaskan bahawa pelaksanaan projek strategik seperti Sistem Transit Rapid (RTS) Link Johor Bahru-Singapura kini berjalan lancar.
Selepas sekian lama dirancang dan dijangka menjadi penyelesaian kepada kesesakan rentas sempadan di Kompleks Sultan Abu Bakar serta Bangunan Sultan Iskandar.
Tambahnya lagi, selain projek infrastruktur berskala besar, Kerajaan MADANI turut memperkukuh pembangunan Johor.
Iaitu melalui peningkatan peruntukan pengurusan, kemudahan awam, pendidikan, kesihatan serta pelbagai inisiatif kebajikan yang memberi manfaat langsung kepada rakyat.
Malah katanya, segala dakwaan bahawa Johor tidak mendapat perhatian sewajarnya daripada Kerajaan Persekutuan wajar dinilai berdasarkan data dan rekod kewangan rasmi.
Bukannya persepsi atau sentimen politik menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Dalam pada itu, beliau turut menegaskan, pendekatan Kerajaan MADANI adalah memastikan setiap negeri menerima pembangunan secara adil berdasarkan keperluan rakyat.
Seterusnya memperkukuh pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan negara secara menyeluruh.
Katanya, Kerajaan MADANI akan terus memastikan setiap projek yang diluluskan disiapkan mengikut jadual bagi memberi manfaat segera kepada rakyat.
Beliau yang juga Menteri Kewangan menegaskan, pembangunan Johor tidak hanya tertumpu kepada infrastruktur.
Malah ia turut melibatkan usaha memperkukuh peluang pekerjaan, pelaburan serta kemudahan pendidikan dan kesihatan.
Menurutnya lagi, kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri akan terus diperkasakan demi memastikan agenda pembangunan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.
Beliau berkata, kerajaan sentiasa mengamalkan pendekatan berasaskan fakta dan data dalam menentukan agihan peruntukan kepada semua negeri.
Ini kerana, keutamaan kerajaan adalah meningkatkan kesejahteraan rakyat tanpa mengira fahaman politik atau kawasan.
Justeru, beliau berharap rakyat menilai prestasi kerajaan berdasarkan rekod pencapaian dan pelaksanaan projek yang memberi impak nyata kepada kehidupan seharian.
Pautan Video: https://m.youtube.com/watch?v=KxBgE0v9GcA&ra=m
