Belanjawan 2027 akan memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan pendapatan rakyat, memperluas peluang pekerjaan berkualiti serta meringankan tekanan kos sara hidup.
Khususnya golongan berpendapatan sederhana.
Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Dato’ Seri Anwar Ibrahim berkata, pandangan daripada hampir 400 wakil pelbagai sektor menerusi Majlis Libat Urus Belanjawan 2027 akan diperhalusi sebelum belanjawan dimuktamadkan.
Menurutnya, kerajaan mahu memastikan pertumbuhan ekonomi dan pencapaian makroekonomi tidak hanya tercermin melalui angka.
Sebaliknya manfaat pembangunan dapat dirasai seluruh lapisan masyarakat.
Belanjawan 2027 yang bertemakan ‘Malaysia Madani: Menggapai di Langit, Mengakar di Bumi’ akan berpaksikan tiga tonggak Ekonomi MADANI.
Antaranya dengan menaikkan siling pertumbuhan negara, menaikkan lantai kesejahteraan rakyat serta memperkukuh tatakelola pentadbiran.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, antara keutamaan kerajaan ialah memperkukuh pendidikan, kesihatan dan pembangunan modal insan.
Di samping memperluas perlindungan sosial serta meningkatkan mutu perkhidmatan asas.
Kerajaan turut meneliti beban isi rumah membabitkan keperluan makanan, perumahan, pengangkutan, kesihatan, pendidikan dan penjagaan kanak-kanak.
Ia termasuk langkah penambahbaikan subsidi serta bantuan sosial secara lebih bersasar.
Dalam masa sama, perlindungan sosial bagi pekerja gig dan sektor tidak formal akan diperkukuh.
Selain penilaian terhadap skim berkaitan KWSP dan PERKESO sebagai persediaan menghadapi status negara tua menjelang 2030.
Bagi merancakkan ekonomi, kerajaan memberi tumpuan kepada sektor berpotensi tinggi.
Antaranya termasuk semikonduktor, kecerdasan buatan (AI), ekonomi digital, peralihan tenaga, farmaseutikal, logistik dan aeroangkasa.
Usaha memperkasa PMKS, koperasi, belia, wanita serta komuniti rentan turut menjadi antara bidang tumpuan.
Selain mengurangkan jurang pembangunan antara wilayah termasuk Sabah, Sarawak, kawasan luar bandar dan pedalaman.
Sementara itu, kerajaan turut mengambil kira cabaran perubahan iklim dan keterjaminan makanan dalam penyediaan Belanjawan 2027.
Termasuk kesan fenomena El Nino terhadap sektor agromakanan dan perikanan.
Untuk rekod, Belanjawan 2027 dijadual dibentangkan PMX di Dewan Rakyat pada 9 Oktober 2026.
Belanjawan 2027 juga dijangka menjadi antara instrumen utama kerajaan dalam menangani tekanan kos sara hidup serta memperkukuh kesejahteraan rakyat.
Pada masa sama, kerajaan turut berdepan cabaran memastikan pertumbuhan ekonomi terus kukuh tanpa mengabaikan keperluan golongan rentan dan kumpulan berpendapatan sederhana.
Dengan pelbagai pandangan dikumpulkan menerusi sesi libat urus, Belanjawan 2027 diharap membawa langkah yang lebih bersasar, mampan dan memberi impak langsung kepada rakyat In Shaa Allah.
Pautan Video: https://m.youtube.com/watch?v=Io5Dv4lkuXY&ra=m
