Kempen memainkan naratif “bahaya DAP” menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan disifatkan sebagai tanda ketandusan modal politik dan gagal menawarkan penyelesaian kepada isu sebenar yang dihadapi rakyat.
Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Dato’ Mahfuz Omar berkata, rakyat ketika ini lebih memerlukan penyelesaian.
Terutamanya terhadap kos sara hidup, peluang pekerjaan, pembangunan ekonomi, pendidikan, kesihatan dan perumahan berbanding kempen yang berasaskan politik ketakutan.
Beliau mengibaratkan pendekatan itu seperti seorang doktor yang hanya bercakap mengenai penyakit tanpa memberikan rawatan.
Sambil menegaskan tugas parti politik adalah menawarkan dasar dan penyelesaian yang mampu meningkatkan kesejahteraan rakyat.
Mahfuz turut mempersoalkan konsistensi Parti Islam Se-Malaysia (PAS) yang sebelum ini pernah bekerjasama dengan DAP.
Malah, kini turut dilihat terbuka bekerjasama dengan UMNO serta menggesa penyokong mengundi calon Barisan Nasional (BN) dalam beberapa pilihan raya.
Tambahnya yang juga Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang, PRN Negeri Sembilan seharusnya menjadi medan persaingan idea dan rekod pentadbiran.
Ia termasuk membandingkan pencapaian ekonomi, pelaburan, pembangunan serta peluang pekerjaanantara Negeri Sembilan dan negeri-negeri SG4 yang ditadbir Perikatan Nasional.
Beliau berkata, rakyat kini semakin matang dalam membuat penilaian dan lebih mengutamakan prinsip, integriti serta keupayaan sesebuah parti menyelesaikan masalah berbanding slogan politik bermusim.
Mahfuz menegaskan Negeri Sembilan memerlukan politik yang matang, berhemah dan membawa harapan kepada rakyat, kerana politik ketakutan tidak mampu meningkatkan kesejahteraan.
Sebaliknya politik yang menawarkan penyelesaian diyakini dapat membina negeri yang lebih makmur, stabil dan sejahtera.
Beliau turut berkata, perdebatan politik yang sihat perlu berpaksikan fakta, data serta pencapaian yang boleh dinilai secara objektif oleh rakyat.
Menurutnya lagi, setiap parti yang menawarkan diri untuk mentadbir wajar mengemukakan pelan tindakan yang jelas bagi merancakkan pertumbuhan ekonomi negeri.
Malah katanya, usaha menarik pelaburan berkualiti dan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan berpendapatan tinggi seharusnya menjadi fokus utama kempen pilihan raya.
Beliau turut menegaskan golongan muda memerlukan jaminan masa depan yang lebih baik melalui peluang pekerjaan, latihan kemahiran dan pendidikan yang berkualiti.
Dalam masa sama, beliau berkata, isu kebajikan rakyat serta kemampuan memiliki rumah juga perlu diberikan perhatian sewajarnya.
Mahfuz menambah, rakyat kini lebih cenderung menilai prestasi sesebuah parti berdasarkan rekod pentadbiran berbanding retorik politik semata-mata.
Justeru, katanya, setiap parti perlu mengemukakan tawaran yang realistik dan boleh dilaksanakan sekiranya diberi mandat.
Beliau berharap kempen PRN Negeri Sembilan berlangsung secara matang dengan persaingan idea yang memberi manfaat kepada rakyat serta masa depan negeri.
Pautan Video: https://m.youtube.com/watch?v=nhIl0LAOHqc&ra=m
