Parti Keadilan Rakyat (PKR) menggesa semua pihak supaya tidak mengheret institusi Raja Berperlembagaan ke dalam persaingan politik menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Sambil menegaskan pertandingan politik perlu berlangsung secara matang, berintegriti dan berasaskan kekuatan parti masing-masing.
Naib Presiden PKR, Dato’ Sri R. Ramanan berkata, pemimpin politik seharusnya berdepan rakyat secara terbuka tanpa bergantung kepada mana-mana institusi untuk mempertahankan kedudukan atau kepentingan politik mereka.
Menurutnya, institusi diraja merupakan lambang perpaduan negara yang perlu kekal berkecuali serta dihormati oleh semua pihak.
Beliau berkata demikian ketika mengulas polemik yang tercetus susulan kenyataan berkaitan pentadbiran Johor menjelang PRN negeri itu.
Ia termasuk pandangan yang disuarakan Pemangku Sultan Johor, DYAM Tunku Mahkota Ismail berhubung isu pentadbiran negeri dan hubungan antara Kerajaan Persekutuan dengan kerajaan negeri.
Ramanan turut melahirkan rasa kecewa apabila Pemangku Sultan Johor menjadi sasaran kritikan di media sosial susulan perkembangan politik semasa.
Katanya lagi, keadaan itu menunjukkan pentingnya sempadan yang jelas antara institusi diraja dan gelanggang politik supaya institusi Raja Berperlembagaan tidak terdedah kepada polemik partisan.
Sehubungan dengan itu, beberapa pihak turut mengingatkan bahawa pertikaian yang membabitkan dasar kerajaan, hasil negeri, pembangunan serta peruntukan awam seharusnya dijawab oleh kerajaan atau parti politik yang terlibat, dan bukannya dikaitkan dengan institusi diraja.
Pendekatan itu dilihat penting bagi memastikan kedudukan Raja terus dihormati sebagai payung kepada seluruh rakyat tanpa dipengaruhi persaingan politik.
Sementara itu, Parti Wawasan Negara (Wawasan) yang baru ditubuhkan mengumumkan barisan kepimpinan pusatnya dengan Dato’ Seri Hamzah Zainudin dilantik sebagai Presiden, manakala Tan Sri Dr. Rais Yatim memegang jawatan Pengerusi.
Turut menganggotai kepimpinan tertinggi parti itu ialah Datuk Tan Lek Khang sebagai Timbalan Presiden, selain beberapa bekas menteri, Ahli Parlimen dan tokoh profesional.
Penubuhan Wawasan yang diumumkan pada Konvensyen RESET di Tanah Merah, Kelantan sebelum ini dilihat menambah warna baharu kepada landskap politik negara menjelang beberapa pilihan raya akan datang.
Pada masa sama, pemerhati berpendapat semua parti perlu memastikan persaingan politik kekal tertumpu kepada dasar, rekod pentadbiran dan tawaran kepada rakyat tanpa melibatkan institusi yang sepatutnya kekal berkecuali.
Mengulas lanjut, Ramanan berkata, kematangan demokrasi hanya dapat diperkukuhkan apabila semua pihak menghormati peranan dan batas setiap institusi yang termaktub dalam Perlembagaan.
Menurutnya lagi, persaingan politik yang sihat perlu tertumpu kepada idea, dasar serta penyelesaian terhadap isu yang dihadapi rakyat.
Malah katanya, tindakan mengaitkan institusi diraja dengan pertikaian politik hanya akan mengundang salah faham dan mencetuskan polemik yang tidak perlu.
Beliau turut menggesa semua pemimpin politik supaya lebih bertanggungjawab dalam mengeluarkan kenyataan.
Terutamanya ketika suhu politik semakin meningkat menjelang PRN Johor.
Tegasnya lagi, keutamaan semua pihak seharusnya adalah memastikan kestabilan politik, keharmonian masyarakat dan keyakinan rakyat terhadap sistem Raja Berperlembagaan serta Demokrasi Berparlimen terus terpelihara.
Justeru, beliau berharap kempen pilihan raya akan datang dapat berlangsung secara matang.
Khususnya dengan menghormati institusi negara dan memberi tumpuan kepada kebajikan serta kepentingan rakyat.
Ingat! Rakyat sentiasa memerhati!
Pautan Video: https://m.youtube.com/watch?v=tuYxts6mOIs&ra=m
