PETALING JAYA – Masalah jerebu di negara ini dijangka berterusan sehingga penghujung September, selaras dengan fasa akhir Monsun Barat Daya serta perkembangan kebakaran hutan di Indonesia.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Dr. Mohd. Hisham Mohd. Anip berkata, tiupan angin dari Indonesia ke Malaysia menjadi antara faktor utama yang membawa jerebu rentas sempadan ke negara ini.
Menurut beliau, keadaan cuaca panas dan kurang hujan sepanjang Monsun Barat Daya turut menyukarkan usaha mengurangkan jerebu, terutama selagi kebakaran hutan di negara jiran belum dapat dikawal sepenuhnya.
“Selagi masih berlaku kebakaran yang tidak dikawal, agak sukar untuk jerebu berkurangan kerana tiupan angin sepanjang musim monsun ini adalah dari Indonesia ke negara kita.
“Jika terdapat peningkatan dalam taburan hujan, masalah jerebu ini akan dapat dikurangkan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sebanyak 29 kawasan di seluruh negara merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap tidak sihat setakat pukul 3 petang semalam, menurun berbanding 32 kawasan pada sebelah pagi.
Berdasarkan data Sistem Pengurusan Indeks Pencemar Udara Malaysia (APIMS), IPD Serian, Sarawak merekodkan bacaan tertinggi iaitu 182, diikuti Sri Aman (170), Kuching (160), Samarahan (156) dan Sarikei (153).
Mengulas mengenai Operasi Pembenihan Awan (OPA), Mohd. Hisham berkata, keadaan atmosfera serta pembentukan awan di kawasan terjejas ketika ini masih belum kondusif untuk operasi berkenaan dilaksanakan.
Beliau berkata, dalam tempoh tiga hingga lima hari akan datang, perkembangan kualiti udara banyak bergantung kepada keadaan kebakaran di lapangan, khususnya usaha memadam kebakaran di negara jiran.
“Masalah jerebu ini dijangka berkurangan jika api berjaya dipadamkan dan semakin buruk sekiranya sebaliknya,” katanya.
