KUALA LUMPUR – Skim Lindung 24 Jam di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) mula membuktikan keberkesanannya dalam melindungi pencarum daripada kejutan kewangan akibat kemalangan di luar waktu kerja, selepas mencatatkan 2,751 tuntutan dalam tempoh dua bulan pertama pelaksanaannya.
Timbalan Ketua Eksekutif (Strategi dan Korporat) Perkeso, Edmund Cheong Peck Huang berkata, skim yang berkuat kuasa sejak 1 Jun lalu itu diwujudkan bagi menutup jurang perlindungan sosial memandangkan risiko kemalangan boleh berlaku pada bila-bila masa, termasuk ketika berada di rumah atau melakukan aktiviti peribadi.
Katanya, sebanyak 38,676 tuntutan kemalangan terpaksa ditolak antara 2015 hingga Mei 2026 kerana kejadian berkenaan tidak dikategorikan sebagai bencana pekerjaan.
“Lebih 96 peratus golongan berpendapatan rendah (B40) tidak mempunyai sebarang perlindungan insurans persendirian. Skim ini diwujudkan bagi memastikan ekonomi keluarga tidak terjejas teruk apabila pencari nafkah hilang keupayaan,” katanya.
Bagi tempoh 1 Julai hingga 31 Julai lalu sahaja, sebanyak 2,135 permohonan faedah diterima, dengan lebih 90 peratus kes diluluskan dalam tempoh keseluruhan proses kurang lima hari.
Perkeso turut menyalurkan faedah berjumlah RM3.45 juta kepada 2,508 penerima, merangkumi bayaran perubatan, Faedah Hilang Upaya Sementara (FHUS), Faedah Orang Tanggungan (FOT), Faedah Pengurusan Mayat (FPM), alatan pemulihan dan implan.
Alatan pemulihan dan implan mencatatkan bayaran tertinggi iaitu lebih RM2.5 juta, manakala lebih RM842,564 dibayar menerusi FHUS sebagai penggantian pendapatan sepanjang tempoh cuti sakit.
Secara keseluruhan, bagi tempoh dua bulan pertama pelaksanaan, jumlah bayaran faedah mencecah RM4.69 juta, termasuk kira-kira RM3.69 juta bagi kos alatan pemulihan dan implan serta lebih RM909,800 menerusi FHUS.
Keberkesanan skim itu turut dirasai pencarum apabila seorang pekerja swasta dari Johor Bahru, Mohamad Haziq Iqmal Omar, 30, menerima RM540 bagi 16 hari cuti sakit selepas mengalami kecederaan serius pada tisu dan ligamen lutut akibat terjatuh di bilik air rumah.
Menurut Haziq Iqmal, manfaat penggantian pendapatan amat penting kerana kad perubatan persendirian lazimnya hanya menanggung kos rawatan dan hospital, bukannya pendapatan yang hilang ketika seseorang tidak dapat bekerja.
Seorang lagi pencarum dari Kedah, Salmy Anas Ahmad, 52, pula menerima RM972 menerusi FHUS selepas mengalami kecederaan parah dalam kemalangan jalan raya di luar skop tugasan rasmi.
Selain penggantian pendapatan, Perkeso meluluskan dua permohonan implan perubatan berjumlah hampir RM20,000 bagi menyokong rawatan kecederaan tulang belakangnya.
Edmund berkata, Lindung 24 Jam bukan pengganti insurans swasta, sebaliknya pelengkap kepada perlindungan sedia ada dengan memperluas perlindungan kepada kemalangan di rumah, aktiviti peribadi, hujung minggu dan cuti umum.
“Bahasa mudahnya, yang sihat jaga yang sakit, yang hidup jaga waris pencarum yang telah meninggal dunia,” katanya.
Beliau berkata, prinsip solidariti itu penting bagi memastikan pencarum dan keluarga tidak berdepan tekanan ekonomi yang lebih berat apabila musibah berlaku tanpa mengira masa dan tempat.
