PANTAI TANJUNG LOMPAT BUKAN LOKASI MANDI

KOTA TINGGI – Pantai Tanjung Lompat di Bandar Penawar yang menjadi lokasi tragedi empat remaja dihanyutkan ombak bukan kawasan rekreasi untuk aktiviti mandi-manda, sebaliknya merupakan kawasan nelayan menjalankan aktiviti menangkap ikan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penawar, Fauziah Misri berkata penjelasan itu penting bagi memperbetulkan salah faham masyarakat susulan timbul persoalan mengenai ketiadaan tanda amaran di kawasan berkenaan.

Menurut beliau, pantai tersebut digunakan sebagai laluan bot dan lokasi aktiviti perikanan, namun masih dikunjungi orang awam untuk beriadah sehingga berlaku kejadian yang mengejutkan penduduk setempat.

Fauziah turut menzahirkan rasa dukacita terhadap keluarga mangsa dan menyifatkan insiden itu sebagai tragedi pertama seumpamanya berlaku di kawasan tersebut, ketika operasi mencari dan menyelamat (SAR) masih diteruskan bagi mengesan tiga lagi mangsa yang hilang.

Sementara itu, tujuh pelajar tahfiz dari Madrasatul Quran Ar-Redha mengambil inisiatif melaungkan azan serta menunaikan solat hajat di pantai berkenaan sebagai ikhtiar dan doa agar urusan pencarian dipermudahkan.

Dalam perkembangan sama, abang kepada seorang mangsa yang masih hilang, Muhammad Azril Haziq Kamal, 23, berkata keluarganya kini hanya berharap jasad adiknya, Muhammad Adib Hafiy, 16, segera ditemui untuk dibawa pulang.

Beliau berkata perasaan marah sebaik mengetahui adiknya pergi mandi laut walaupun telah dipesan keluarga kini bertukar menjadi pasrah apabila operasi SAR memasuki hari kedua tanpa sebarang petunjuk penemuan.

Keluarga itu menyifatkan pertemuan sehari sebelum tragedi sebagai kenangan terakhir bersama remaja yang mesra dipanggil ‘Abang Chik’, sambil terus berharap usaha pasukan penyelamat membuahkan hasil dan membawa pulang mangsa kepada keluarga.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *