PETALING JAYA – Lebih tujuh juta pencarum Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) kini menikmati penambahbaikan faedah selepas pindaan Akta Sistem Insurans Pekerjaan dan Perkhidmatan Pekerjaan 2017 (Akta 800) mula berkuat kuasa.
Pindaan itu memperkenalkan beberapa penambahbaikan kepada pencarum yang kehilangan pekerjaan, termasuk peningkatan Elaun Bekerja Semula Awal (EBSA) kepada 50 peratus daripada baki Elaun Mencari Pekerjaan (EMP) berbanding 25 peratus sebelum ini.
Selain itu, had maksimum Fi Latihan dinaikkan daripada RM4,000 kepada RM7,000, manakala Elaun Latihan turut ditingkatkan kepada RM30 sehari.
PERKESO berkata, pindaan berkenaan turut memperkenalkan Elaun Bantuan Mobiliti (EBM) sebanyak RM1,000 secara sekali bayar kepada pencarum yang kehilangan pekerjaan dan memperoleh pekerjaan baharu di lokasi yang melebihi 100 kilometer dari kediaman.
“Penambahbaikan yang menyediakan faedah secara purata RM3,300 bagi setiap individu ini mampu merancakkan pasaran buruh negara, selain menjadi pemangkin ke arah tempoh peralihan kerjaya yang lebih cepat,” katanya dalam kenyataan.
Menurut PERKESO, pencarum yang kehilangan pekerjaan dan memenuhi syarat kelayakan boleh mengemukakan permohonan melalui portal LINDUNG Kerjaya atau di mana-mana kaunter PERKESO berhampiran.
Pindaan Akta 800 itu mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim pada 30 Ogos lalu dan diwartakan pada 15 September 2026.
Pelaksanaan itu memperkukuh perlindungan keselamatan sosial serta bantuan kewangan dan kerjaya kepada pekerja sektor swasta yang kehilangan pekerjaan, selaras dengan usaha memperkukuh jaringan perlindungan sosial negara.
Dalam masa sama, PERKESO akan terus memperkukuh peranan MYFutureJobs menerusi pemadanan pekerjaan, khidmat nasihat kerjaya, latihan semula dan peningkatan kemahiran berdasarkan keperluan pasaran buruh.
Pendekatan berkenaan dijangka membantu mempercepatkan proses pencarum kembali bekerja, di samping memastikan kemahiran mereka kekal relevan dengan kehendak majikan serta perubahan struktur ekonomi.
