PATTANI (THAILAND) – Keganasan di wilayah majoriti Melayu di Selatan Thailand kembali tercetus apabila sekumpulan lelaki bersenjata menyerang sebuah kedai serbaneka dan sebuah pangkalan keselamatan di daerah Mayo, Pattani, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8 malam waktu tempatan, empat lelaki bersenjata dilaporkan menyerbu sebuah kedai serbaneka di Ban Ta Bae, Mukim Langa, sebelum melepaskan beberapa das tembakan ke udara bagi mengarahkan pelanggan dan pekerja meninggalkan premis.
Jurucakap Pusat Operasi Keselamatan Dalam Negeri Wilayah 4 (ISOC 4) berkata, kumpulan terbabit kemudian meletakkan bahan letupan buatan sendiri (IED) dan bom molotov sebelum melarikan diri.
“Sejurus kumpulan itu beredar, satu letupan berlaku dan disusuli kebakaran yang memusnahkan kedai berkenaan,” katanya.
Menurutnya, penyerang kemudian bertembung dengan empat anggota renjer yang sedang melakukan rondaan menggunakan kenderaan berperisai tidak jauh dari lokasi kejadian, menyebabkan berlaku pertempuran sebelum suspek melarikan diri dengan motosikal.
Susulan siasatan, Pasukan Petugas Rejimen Renjer ke-42 menahan dua lelaki berusia lingkungan 30-an yang dipercayai mempunyai kaitan dengan serangan berkenaan untuk membantu siasatan.
Dalam kejadian berasingan kira-kira pukul 8.20 malam, sekumpulan kira-kira 10 lelaki bersenjata menyerang pangkalan Unit Perlindungan Mukim Langa.
Pertempuran dilaporkan berlaku selama beberapa minit sebelum kumpulan terbabit berundur dan melarikan diri dari kawasan berkenaan.
Setakat ini, tiada kematian atau kecederaan dilaporkan dalam kedua-dua kejadian, manakala pihak berkuasa masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti motif serta rangkaian yang bertanggungjawab.
Insiden terbaharu itu berlaku kurang 48 jam selepas siri serangan pada malam Sabtu lalu yang dilaporkan menyasarkan 51 lokasi di tiga wilayah selatan Thailand, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan penduduk dan anggota keselamatan di kawasan terbabit.
