HANOI – Harimau Malaya menggalas misi getir untuk mencipta kebangkitan apabila berdepan Vietnam dalam aksi separuh akhir kedua Piala ASEAN 2026 di Stadium Nasional My Dinh, Hanoi.

Skuad kendalian negara berdepan defisit agregat 0-2 selepas tewas pada perlawanan pertama di Stadium Kuala Lumpur, Cheras, namun kapten Paulo Josue percaya peluang untuk mara ke final masih terbuka.

Josue mengakui Vietnam memiliki kelebihan selepas kemenangan pada aksi pertama, tetapi menegaskan perbezaan kedua-dua pasukan tidak terlalu besar dan Harimau Malaya masih mampu mengubah keputusan dalam tempoh 90 minit.

“Kami mempunyai 90 minit untuk berdepan mereka. Apa sahaja boleh berlaku,” katanya.

Pertahanan muda negara, Aysar Hadi turut menyifatkan peluang Malaysia masih ada selagi wisel penamat belum dibunyikan, selain berharap seluruh pasukan dapat mengekalkan disiplin dan keyakinan untuk memburu kemenangan.

Dalam perkembangan lain, Thailand terlebih dahulu mengesahkan kemaraan ke final selepas menyingkirkan Singapura dengan agregat 4-3.

Thailand tewas 1-2 kepada Singapura pada separuh akhir kedua di Stadium Rajamangala, Bangkok, namun kemenangan 3-1 pada aksi pertama memastikan juara tujuh kali itu menempah tiket ke perlawanan akhir.

Keputusan itu menyaksikan Thailand kini menanti pemenang antara Malaysia dan Vietnam untuk menentukan pencabar mereka di pentas final Piala ASEAN 2026. 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *