Parti Amanah Negara (AMANAH) menyambut baik hasrat Kerajaan MADANI untuk memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971, sambil berharap tidak ada lagi mahasiswa menjadi mangsa tindakan hanya kerana berani bersuara.
Pengerusi Biro Pendidikan dan Perubahan Masyarakat AMANAH, Azli Yusof berkata, universiti sepatutnya menjadi ruang mahasiswa belajar mengemukakan pandangan, mengkritik dasar, berbeza pendapat serta mempertahankan hujah berdasarkan ilmu dan fakta.
Menurutnya, pengumuman Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim pada 15 Ogos lalu mengenai hasrat memansuhkan AUKU merupakan satu lagi tonggak penting dalam agenda reformasi institusi dan pendidikan tinggi negara.
“Mahasiswa tidak sepatutnya berdepan tindakan tatatertib semata-mata kerana pandangan politik atau pandangan mereka terhadap sesuatu isu masyarakat.
“Pemansuhannya harus menjadi titik perubahan daripada budaya mengawal mahasiswa kepada budaya mempercayai dan memperkasa mahasiswa,” katanya dipetik Harapan Daily.
Untuk rekod, AUKU sebelum ini sudah melalui tujuh siri pindaan sejak diperkenalkan pada 1971, termasuk pindaan pada 2012 yang membenarkan mahasiswa menyertai aktiviti parti politik di luarkampus.
Pindaan terbaru pada 2024, menyaksikan tindakan tatatertib terhadap pelajar di universiti awam tidaklagi tertakluk pada kuasa Naib Canselor, sebaliknya diputuskan oleh Jawatankuasa Tatatertib Pelajar menerusi pindaan Seksyen 16B AUKU.
Penambahbaikan Seksyen 15A AUKU pula membenarkan Majlis Perwakilan Pelajar dan badan pelajar memungut wang serta menerima sumbangan dalam apa-apa cara, tertakluk kepada peraturan dan undang-undang bertulis yang sedang berkuat kuasa.
Mengulas lanjut, Azli juga berkata, selama lebih lima dekad, AUKU menjadi sebahagian daripada kerangka perundangan yang mengawal ruang mahasiswa untuk berpersatuan, bersuara, berpolitik dan berinteraksi dengan masyarakat.
Malah katanya lagi, sekatan di bawah akta berkenaan pada suatu ketika tidak hanya terhad dalam kawasan kampus, sebaliknya turut membabitkan penglibatan mahasiswa dengan parti politik, pertubuhandan aktiviti di luar universiti.
Ahli Parlimen Shah Alam itu turut mengingatkan sejarah gerakan mahasiswa pada era 1970-an apabila golongan itu tampil membangkitkan isu kemiskinan, harga barang, nasib petani dan ketidakadilan sosial, termasuk ketika Peristiwa Baling 1974.
Azli turut merujuk kes empat mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang dikenakan tindakan berhubung penglibatan mereka dalam Pilihan Raya Kecil Hulu Selangor pada 2010.
Kes itu kemudiannya menjadi antara pertikaian penting berkaitan hak mahasiswa di bawah AUKU.
“Kita mungkin berbeza pandangan terhadap tindakan atau pendekatan mahasiswa ketika itu. Namun, mahasiswa yang prihatin terhadap masalah rakyat adalah aset dan bukan ancaman kepada negara.
“Mahasiswa mesti diberikan ruang untuk belajar demokrasi melalui pengalaman sebenar,” ujarnya lagi.
Menurut Azli, pindaan terhadap AUKU pada 2012 yang melonggarkan beberapa sekatan politik terhadap mahasiswa merupakan langkah penting, tetapi perkembangan selepas lebih sedekad menunjukkan reformasi pendidikan tinggi tidak seharusnya berhenti pada pindaan kecil semata-mata.
Malah katanya, pemansuhan penuh AUKU perlu menjadi titik permulaan kepada pembentukan kerangka baharu yang lebih demokratik, matang serta memberikan autonomi lebih besar kepada universitidan mahasiswa.
“Universiti mesti kembali menjadi medan intelektual yang baik, bukan universiti yang hanya melahirkan graduan yang memperoleh keputusan cemerlang.
“Universiti yang baik melahirkan generasi yang mampu berfikir secara kritis, menguji sesuatu idea, berbeza pendapat secara matang, mempertahankan hujah berdasarkan fakta, memahami masalah masyarakat dan menawarkan penyelesaian kepada negara,” jelasnya.
Sehubungan itu, AMANAH menggesa Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memastikan kerangkabaharu selepas pemansuhan AUKU memberi penekanan kepada jaminan kebebasan bersuara, hak berpersatuan dan proses tatatertib yang telus.
Ia termasuk menyediakan mekanisme rayuan yang berkesan serta membuka ruang lebih luas kepada mahasiswa untuk terlibat dalam proses membuat keputusan berkaitan kehidupan kampus.
Sehubungan dengan itu, AMANAH menyokong sepenuhnya hasrat ini dan berharap kerajaan akan meneruskannya sehingga universiti Malaysia benar-benar menjadi medan ilmu yang bebas berkarya dan bersuara, demokratik dan bertanggungjawab.
Dalam pada itu, sejak puluhan tahun lalu, tidak dinafikan bahawa AUKU 1971 kekal sebagai salah satu warisan undang-undang paling kontroversi dalam sejarah pendidikan tinggi negara.
Walaupun beberapa pindaan telah dibuat sejak 2012, terutamanya berkaitan penglibatan pelajar dalam politik, akta ini masih mengekalkan peruntukan yang membelenggu kebebasan akademik dan hak mahasiswa untuk bersuara dan melontarkan pandangan.
Sedari dulu, AUKU menyekat kebebasan bersuara dan berhimpun di kampus iaitu dua elemen penting dalam pembentukan pemikiran kritis mahasiswa.
Oleh itu, universiti sepatutnya menjadi ruang perdebatan idea yang bebas, bukan medan yang diselubungi ketakutan disiplin.
Dengan penghapusan akta ini, ia tidak lagi memberi kuasa besar kepada pihak pengurusan universiti untuk mengambil tindakan tatatertib terhadap pelajar yang menyertai aktiviti politik atau kritikan terhadap kerajaan, sekali gus mewujudkan budaya ‘self-censorship’ dalam kalangan generasi muda.
Malah, dalam era demokrasi matang dan komunikasi tanpa batas, mahasiswa sepatutnya dilayan sebagai warganegara dewasa yang berhak menyertai proses politik seperti rakyat lain, bukan golongan yang perlu dikawal secara berlebihan atau dikongkong dengan akta tidak sesuai dengan peredaran zaman.
Pun begitu, pemansuhan AUKU sebenarnya selari dengan aspirasi reformasi institusi dalam kerangka Malaysia MADANI yang lebih luas, termasuk memperkasakan autonomi universiti tanpa campur tangan berlebihan pihak pentadbiran universiti atau kolej.
Namun, sesetengah pihak berhujah AUKU masih diperlukan bagi mengekalkan ketenteraman kampus dan mengelakkan politik berpecah belah menular ke institusi pendidikan.
Walaupun begitu, pemansuhan menyeluruh, bukan sekadar pindaan berperingkat, dilihat sebagai langkah paling tepat untuk memastikan universiti benar-benar menjadi ruang ilmu yang bebas dan matang secara demokratik.
Ternyata, pengumuman PMX yang memansuhkan AUKU bukan sekadar retorik atau cakap-cakap politik tetapi Mesyuarat Jemaah Menteri yang diadakan pasti menetapkan tempoh pelaksanaan pemansuhannya.
Tetapi yang lebih penting, mahasiswa generasi kini bertuah kerana hanya Kerajaan MADANI sahajayang bertindak sejak sekian lama diabaikan pentadbiran terdahulu.
Justeru, adalah wajar bagi semua pihak berkepentingan memberi masa kepada kabinet untuk memperhalusi kaedah terbaik bagi melaksanakannya tanpa mencetus polemik tidak perlu yang menghalang ia daripada diteruskan.
Ingat! Rakyat sentiasa memerhati!
Pautan Video: https://m.youtube.com/watch?v=UyAMDlEx3eQ&ra=m
