KUALA LUMPUR – Pemain boling negara, Rafiq Ismail mengakui pendekatan untuk kekal fokus terhadap satu demi satu kejohanan menjadi kunci utama kejayaannya merangkul kejuaraan terbaru.
Menurut Rafiq, dia sengaja mengelakkan daripada memikirkan sasaran jangka panjang sebaliknya memberi tumpuan sepenuhnya kepada setiap aksi yang dihadapi agar dapat mengekalkan prestasi terbaik di gelanggang.
“Saya tak gopoh. Saya cuba ambil satu demi satu dan tak mahu fikir tentang kejohanan seterusnya. Saya cuma ikut rentak dan fokus kepada apa yang ada di depan,” katanya.
Rafiq berkata, keyakinannya semakin meningkat pada permainan terakhir selepas menyedari rentak pencabar utama mula perlahan, sekali gus membolehkannya mengawal tekanan dan menampilkan permainan yang lebih kemas.
“Permainan terakhir saya agak relaks sebab saya tengok rentak pemain lain agak perlahan. Pada separuh permainan terakhir saya sudah tahu peluang untuk menang itu ada dan saya dapat bermain dengan lebih tenang,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Rafiq mendedahkan insiden rumahnya dirompak sejurus pulang daripada kejohanan Terbuka Singapura turut menjadi pembakar semangat untuk bangkit mencipta kejayaan. Kejadian itu menyebabkan beliau mengalami kerugian dianggarkan kira-kira RM60,000.
Walaupun diuji dengan dugaan di luar gelanggang, Rafiq memilih untuk menjadikannya sebagai motivasi tambahan bagi terus mengharumkan nama negara. Kejayaan terbaharu itu membuktikan ketenangan, disiplin serta kekuatan mental menjadi aset penting buat atlet kebangsaan dalam menghadapi cabaran di pentas antarabangsa.
Rafiq berharap momentum kemenangan itu dapat diteruskan dalam kejohanan-kejohanan akan datang sambil menegaskan beliau tidak mahu terlalu dibuai kejayaan. Sebaliknya, beliau akan terus memperkemaskan aspek teknikal dan mengekalkan fokus terhadap setiap pertandingan bagi memastikan prestasi konsisten serta mampu terus menyumbang kejayaan buat skuad boling negara.
