UniMAP PERKUKUH KERJASAMA INDUSTRI

GEORGE TOWN – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) terus memperkukuh jaringan strategik dengan pihak industri menerusi kolaborasi lebih menyeluruh meliputi pembangunan bakat, penyelidikan, inovasi serta penyelesaian terhadap keperluan sebenar sektor berkenaan.

Naib Canselornya, Datuk Prof. Dr. Zaliman Sauli berkata, kerjasama universiti dan industri perlu dilihat sebagai perkongsian strategik yang mampu mencipta nilai bersama kepada mahasiswa, industri dan negara, bukan sekadar berorientasikan pengambilan graduan.

Katanya, UniMAP kini mempunyai lebih 300 rakan industri strategik, namun fokus universiti adalah meningkatkan kedalaman serta impak setiap kerjasama yang dibangunkan.

“Matlamat kami bukan sekadar menambah jumlah rakan industri, tetapi membina perkongsian lebih mendalam dalam pembangunan bakat, penyelidikan, inovasi dan penyelesaian terhadap cabaran sebenar industri.

“Pelajar yang kita bangunkan bersama hari ini berpotensi menjadi jurutera, pakar teknologi serta pemimpin pada masa hadapan,” katanya ketika berucap pada UniMAP Industry Eminence Awards 2026, di sini, malam semalam.

Turut berangkat pada majlis itu ialah Raja Muda Perlis yang juga Canselor UniMAP, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail serta Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil selaku Pro-Canselor universiti.

Zaliman berkata, UniMAP Industry Eminence Awards 2026 turut menjadi platform mengiktiraf 31 rakan industri strategik yang memberi sumbangan signifikan dalam pengajaran dan pembelajaran, pembangunan mahasiswa, penyelidikan serta inovasi.

Beliau berkata, penglibatan industri juga digalakkan pada peringkat awal pembangunan bakat menerusi inisiatif seperti Industry Advisory Panels bagi memastikan graduan lebih bersedia menghadapi perubahan landskap pekerjaan.

“Projek tahun akhir, program bimbingan, pensijilan profesional, latihan khusus serta pendedahan kepada teknologi dan persekitaran kerja sebenar turut membantu memastikan kurikulum akademik kekal relevan dengan perkembangan teknologi serta keperluan industri masa kini dan masa hadapan,” katanya.

Dalam pada itu, UniMAP kini mempunyai 12 makmal Industry on Campus (IoC) yang membawa teknologi, kepakaran dan pengalaman industri lebih dekat kepada mahasiswa, ahli akademik serta penyelidik.

Menurut Zaliman, inisiatif berkenaan turut membuka peluang kepada penubuhan makmal bersama, perkongsian kemudahan, kepakaran dan sumber bagi memperluas manfaat kerjasama universiti-industri.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *