PETALING JAYA – Umat Islam diingatkan supaya berhati-hati menyertai program yoga dan meditasi, khususnya aktiviti yang mengandungi unsur mantra, ritual pemujaan, chakra atau amalan kerohanian agama lain.
Yang Dipertua Persatuan Persaudaraan Muslimah Malaysia (Salimah), Datin Aminah Zakaria berkata, masyarakat perlu membezakan aktiviti fizikal untuk kesihatan dengan amalan yang mempunyai unsur keagamaan dan boleh menyentuh soal akidah.
Menurutnya, yoga yang sekadar melibatkan gerakan regangan serta latihan pernafasan tidak perlu disamakan dengan bentuk yoga yang turut mengandungi mantra, meditasi bercorak keagamaan, konsep chakra, tenaga metafizik atau pemujaan.
“Yoga pada hari ini hadir dalam pelbagai bentuk. Kita tidak menolak senaman yoga yang menggunakan gerakan regangan dan latihan pernafasan.
“Namun, terdapat juga yoga yang disertai mantra, meditasi bercorak keagamaan, konsep chakra, tenaga metafizik, pemujaan dan unsur kerohanian yang mempunyai akar dalam tradisi serta agama tertentu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Kali Ke-83 pada 2008 memutuskan bahawa yoga yang menggabungkan amalan fizikal dengan unsur keagamaan, mantra dan pemujaan adalah tidak sesuai serta boleh merosakkan akidah umat Islam.
Sehubungan itu, Salimah menggesa pihak berautoriti, pertubuhan Islam dan pempengaruh media sosial meningkatkan usaha memberi penerangan kepada masyarakat sebelum mereka menyertai program berkonsepkan ‘wellness’.
Aminah berkata, peserta wajar berundur sekiranya sesuatu program mengandungi mantra, ritual, pemujaan atau konsep chakra, tenaga ketuhanan dan penyatuan diri dengan Tuhan yang berasaskan agama lain.
Sebagai alternatif, katanya, umat Islam boleh memilih aktiviti seperti senaman regangan, berjalan kaki, berenang, berbasikal, latihan kecergasan atau Pilates yang tidak mengandungi unsur keagamaan.
Bagi ketenangan jiwa pula, beliau berkata umat Islam mempunyai pelbagai amalan seperti solat, zikir, doa, membaca al-Quran, tadabbur dan menghadiri majlis ilmu.
“Menjaga akidah bukan bermakna menolak kemodenan, manakala menghormati agama lain juga tidak bermaksud seseorang Muslim perlu mencampurkan ritual agama dalam kehidupan mereka.
“Kesihatan tubuh memang perlu dijaga dan ketenangan jiwa juga perlu dicari, tetapi bagi seorang Muslim, kedua-duanya mestilah berjalan seiring dengan prinsip yang tidak boleh dikompromi iaitu nilai tauhid kepada Allah SWT,” katanya.
